MR DIY catat untung bersih RM155.2 juta pada 2QFY24, yakin sentimen pengguna Malaysia meningkat | DagangNews Skip to main content

MR DIY catat untung bersih RM155.2 juta pada 2QFY24, yakin sentimen pengguna Malaysia meningkat

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Ogos - MR DIY Group (M) Bhd mencatatkan untung bersih RM155.21 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), meningkat daripada RM150.32 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu melaporkan pendapatan RM1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion pada suku perbandingan manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 1.64 sen daripada 1.59 sen pada 2QFY23.

 

Sepanjang tempoh enam bulan terkumpul, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM300.09 juta daripada RM278.09 juta pada 1HFY23, manakala hasil meningkat kepada RM2.34 bilion daripada RM2.15 bilion pada tempoh yang sama pada 2023.

 

Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen sebanyak 1.2 sen sesaham mewakili pembayaran dividen sebanyak RM113.4 juta dan rekod 73.1% daripada keuntungan selepas cukai.

 

Ini menjadikan pembayaran tahun sehingga kini kepada 2.2 sen sesaham, bersamaan 69.3% daripada keuntungan selepas cukai.

 

MR DIY dalam kenyataan medianya menyatakan komitmen untuk memastikan barang-barang keperluan rumah kekal mampu milik dan mudah diakses dengan strategi kumpulan ke depan akan dipacu oleh kerjasama bermakna dengan perniagaan yang mempunyai matlamat yang sama.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata, petunjuk ekonomi yang positif, peningkatan nilai ringgit berbanding mata wang utama dan kemasukan pelaburan asing adalah tanda bahawa kumpulan ini boleh mengharapkan peningkatan sentimen pelanggan, yang seterusnya akan memacu pertumbuhannya.

 

"Strategi kumpulan ke depan akan dipacu oleh kerjasama yang bermakna dengan rakan perniagaan yang sehaluan. Kumpulan ini dengan gembira mengumumkan pelaburan strategik dalam rangkaian runcit gaya hidup KKV untuk membuka cawangan KKV baru di seluruh negara. 

 

"Langkah ini dijangka memacu pertumbuhan masa depan dengan menarik pangkalan pelanggan yang lebih luas dan meningkatkan pengalaman membeli-belah keseluruhan. 

 

“KKV adalah rangkaian kedai gaya hidup yang popular yang menawarkan pelbagai produk gaya hidup, menyasarkan demografi muda dan trendi. Pelaburan strategik ini selari dengan komitmen kami terhadap inovasi, memenuhi kehendak pengguna yang berubah-ubah, dan menyokong pertumbuhan keuntungan jangka panjang yang mampan,” katanya.- DagangNews.com