KUALA LUMPUR 9 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap MR DIY Group (M) Bhd. dengan harga sasaran disemak lebih rendah pada RM2.40 daripada RM2.92 sesaham sebelum itu selepas prestasi suku ketiga tersasar daripada jangkaannya.
Sejajar dengan semakan semula itu, ia mengurangkan unjuran bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak -11%, -6% dan -6%.
Menurutnya, dengan merekodkan keuntungan selepas cukai (PAT) teras sebanyak RM101.1 juta pada suku ketiga, ia menjadikan PAT bagi tempoh sembilan kepada RM343.2 juta, yang mana ia tersasar daripada jangkaan firma, merangkumi 60% manakala 66% bagi konsensus disebabkan margin yang lebih rendah daripada jangkaan.
"Setakat ini, kumpulan telah membuka 138 cawangan baharu dan kami dapati ia akan melebihi sasaran pembukaan 180 cawangan baharu bagi FY22.
"Namun, di sebalik langkah pengembangan yang sihat ini, kumpulan masih mengalami peningkatan ketara dalam kos input terutamanya caj pengangkutan dan kos kakitangan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : MR DIY catat keuntungan bersih 12% lebih tinggi kepada RM101.2 juta pada Q3 2022
HLIB mendapati perbelanjaan operasi (opex) MR DIY meningkat 2% tahun ke tahun berikutan kos upah yang lebih tinggi sebanyak 1.2% apabila gaji minimum dikuatkuasakan pada Mei lalu.
Bagi mengurangkan kesan ini, kumpulan sedang meneroka beberapa inisiatif operasi dan strategik utama termasuk semakan harga bagi rangkaian produknya, mengoptimumkan campuran produk serta automasi dan menyederhanakan proses operasi.
"Namun, kami kekal optimis dengan strategi kumpulan dalam mengembangkan cawangan kedainya bagi mempertahankan bahagian pasarannya sebagai peruncit pembaikan rumah terkemuka," katanya.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, keuntungan bersih MR DIY meningkat 12% tahun
atas tahun kepada RM101.18 juta pada suku ketiga erakhir 30 September 2022 daripada RM90.35 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat 25.8% kepada RM966.17 juta daripada RM768.02 juta.
Sebahagian besar peningkatan itu didorong oleh peningkatan 40% dalam volum urus niaga yang merangkumi pertumbuhan kedai sama yang positif serta sumbangan daripada kedai baharu.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersihnya meningkat 13.3% kepada RM336.87 juta daripada RM297.28 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas dengan pendapatan meningkat 21.8% kepada RM2.92 bilion daripada RM2.4 bilion setahun lalu.
Setakat 10.20 pagi, harga saham MR DIY susut 1 sen atau 0.51% kepada RM1.97 dengan 373,200 saham diniagakan. - DagangNews.com