MR D.I.Y. dijangka naikkan harga jualan tampung peningkatan kos | DagangNews Skip to main content

MR D.I.Y. dijangka naikkan harga jualan tampung peningkatan kos

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Mei - Kenanga Research menjangkakan MR D.I.Y. Group Berhad akan meningkatkan purata harga jualan mereka (ASP) dalam usaha untuk mendepani peningkatan harga kos.

 

Firma itu berkata, langkah itu merupakan antara pendekatan yang perlu dilakukan kumpulan itu bagi mengurangkan tekanan akibat tukaran mata wang dan perintah kawal pergerakan di China.

 

Bagaimanapun, peningkatan harga jualan itu tidak akan mengganggu permintaan terhadap produk kumpulan itu selepas mengambil kira situasi sama yang pernah berlaku pada 2018. 

 

"Selepas mengambil kira faktor inflasi semasa, produk kumpulan itu akan kekal menjadi perhatian.

 

"Walaupun berdepan kenaikan kos, pengurusan kumpulan berjaya merekodkan antara 40% hingga 41% margin keuntungan bagi FY22 dengan meningkatkan harga jualan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM100.5 juta untuk suku pertama yang berakhir 31 Mac 2022.

 

MR D.I.Y merekodkan pendapatan sebanyak RM905.16 juta untuk suku pertama, peningkatan 4% daripada RM870.18 juta berbanding tahun lalu dan ia disumbangkan oleh pembukaan cawangan baharu.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM4.00 berbanding RM3.55 sebelum ini.

 

Katanya, saranan itu dibuat selepas mengambil kira potensi perkembangan kumpulan selain permintaan pasaran serta pertambahan cawangan.

 

"Kedudukan mereka dalam pasaran tempatan juga tidak tergugat, kekuatan margin keuntungan selepas melihat situasi tidak menentu pasaran dan kekuatan kedudukan tunai kumpulan," katanya. - DagangNews.com