KUALA LUMPUR 23 Feb - MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.) telah mengedarkan lebih daripada 1,000 kit ujian kendiri COVID-19 kepada 23 buah rumah kebajikan di seluruh negara baru-baru ini, menerusi kempen You Share, We Donate.
Ketua Pemasaran MR. D.I.Y Group, Alex Goh berkata, setiap musim perayaan syarikat peruncit tersebut akan menghasilkan sebuah filem web yang bertujuan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk tidak melupakan mereka yang memerlukan.
"Sebagai jenama kelahiran Malaysia, kami ingin meraikan ciri-ciri unik yang menjadikan kita sebagai sebuah komuniti. Inisiatif “You Share, We Donate” turut membantu menyebarkan mesej #kitajagakita.
“Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menyokong usaha tahunan ini. Inisiatif seperti kempen ini akan dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan akses kepada barangan keperluan semasa pandemik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, syarikat tersebut juga menyokong usaha semasa pandemik di seluruh negara dengan memastikan bekalan yang mencukupi untuk pelbagai barangan keperluan semasa pandemik dan peralatan penjagaan diri dengan Always Low Prices termasuk kit ujian kendiri jenis calitan hidung, air liur dan wisel, pensanitasi tangan serta pelitup muka.
Terdahulu, MR D.I.Y turut menyumbang sebanyak RM4,140 dalam bentuk baucar tunai (RM1,380 setiap satu) ke tiga buah rumah kanak-kanak, termasuk House of Love, SHELTER - Home for Children dan BRDB Rotary Children Residence.
Selain baucar tunai, setiap rumah kebajikan tersebut juga menerima kit ujian kendiri COVID-19, wisel dan pelitup muka.
Mengulas mengenai filem web berjudul ‘Family’ di laman rasmi Facebook MR. D.I.Y, filem berdurasi 3.5 minit itu mengisahkan tiga sekawan yang berlainan bangsa.
Mereka berpegang setia kepada nilai-nilai murni yang diajar di rumah anak yatim, tempat di mana mereka dibesarkan dan kemudiannya kembali ke rumah anak yatim tersebut untuk meraikan Tahun Baru Cina.
Inisiatif You Share, We Donate yang dilancarkan dua tahun lalu itu bertujuan untuk menyalurkan jumlah sumbangan yang sama banyak dengan jumlah perkongsian dijana filem web tersebut, ke beberapa organisasi kebajikan berbeza.
Filem web itu berjaya memperoleh sejumlah 1,380 perkongsian di Facebook dan mendapat lebih daripada 11.8 juta tontonan di Facebook, YouTube dan TikTok. - DagangNews.com