KUALA LUMPUR 23 Sept - Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn. Bhd., syarikat konsesi bagi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE)
akan melaksanakan penutupan lorong dan pengaktifan laluan kontra sepanjang dua kilometer; bermula KM37.2 hingga KM39, di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2)
iaitu di antara Persimpangan Persiaran Mewah dengan Pekan Sungai Besi.
Penutupan dijadualkan akan berlangsung selama enam bulan bermula 24 September 2021 hingga 31 Mac 2022.
Menurut Timbalan Pengurus Besar SUKE, Dr. Ir. Zarulazam Eusofe, penutupan lorong dilaksanakan bagi memberi laluan kepada pembinaan 11 unit tiang, kerja-kerja konkrit dan pemasangan tembok parapet yang akan merentasi MRR2.
Sehubungan dengan itu aktiviti penutupan dan laluan kontra ini adalah penting bagi tujuan memastikan jarak selamat dengan pengguna jalan dengan dengan tapak pembinaan.
“Pelaksanaan aktiviti ini untuk mengelakkan sebarang kejadian luar jangka kepada pengguna lebuhraya MRR2. Sepanjang tempoh pembinaan berlangsung, kedua-dua
lorong U-overhead berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan tiga lorong Sungai Besi Bound (SBB) akan ditutup untuk lalu lintas,” kata Dr. Ir. Zarulazam.
"Aliran kontra dua lorong akan diaktifkan dari arah Ulu Kelang manakala trafik menuju Ulu Kelang akan dialihkan menerusi susur keluar di TBS. Bagi fasa kedua yang dijadualkan bermula 1 Disember 2021 hingga 28 Februari 2022, aliran kontra dua lorong akan bertukar menjadi satu lorong,” tambah Dr. Ir. Zarulazam.
Sepanjang tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Nasional (NRP), SUKE dan pemaju projek MRCB Builders Sdn. Bhd.akan mematuhi panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa aktiviti pembinaan berlangsung.
Aktiviti ini dilaksanakan setelah mendapat kelulusan dari Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya.
Sehubungan dengan itu, SUKE ingin menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan agar dapat mengelakkan sebarang kesulitan. Bagi yang menuju ke Ulu Kelang dari Lebuhraya KESAS dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif seperti E516, Sri Petaling menuju ke Kuala Lumpur.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini atau menghantar maklumbalas, sila berhubung dengan saluran komunikasi SUKE seperti berikut:
Telefon hotline : 1 300 88 9922
Facebook : PROLINTAS Highways
Twitter : @mySUKEofficial
Emel : [email protected]
Laman web : www.mysuke.com.my
Pembinaan Lebuhraya SUKE sepanjang 24.4km bermula pada 29 Ogos 2016. Setelah siap, SUKE dijangkakan akan mengurangkan kesesakan lalu lintas sekurang-kurangnya 30% di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan di kawasan berkepadatan tinggi seperti Cheras, Pandan Indah dan Ampang.
Lebuhraya SUKE bermula di Sri Petaling dan berakhir di Ulu Kelang di MRR2, Lebuhraya SUKE akan menghubungkan beberapa lebuh raya utama bandar seperti DUKE, AKLEH, Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya Cheras-Kajang, BESRAYA Lebuhraya dan Lebuhraya KESAS. - DagangNews.com