MRT Laluan Kajang alami kelewatan disebabkan masalah teknikal, Rapid Rail mohon maaf | DagangNews Skip to main content

MRT Laluan Kajang alami kelewatan disebabkan masalah teknikal, Rapid Rail mohon maaf

Pengguna MRT terkandas dan bersesak di Stesen Semantan ekoran masalah teknikal tren MRT - Gambar Netizen

 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 5 Jan - Kelewatan jadual perjalanan perkhidmatan MRT Laluan Kajang pagi tadi berpunca daripada masalah teknikal sebuah tren ketika menghampiri Stesen MRT Phileo Damansara.

 

Rapid Rail Sdn. Bhd. memaklumkan, pihaknya telah mengaktifkan pelan servis alternatif menggunakan satu landasan antara Stesen Phileo Damansara dengan Stesen Semantan.

 

"Pengguna dari arah Kwasa Sentral perlu turun dan mendapatkan tren perantara di Stesen Phileo Damansara ke Stesen Semantan, seterusnya meneruskan perjalanan seperti biasa.

 

"Sebaliknya, pengguna dari arah Kajang perlu turun dan mendapatkan tren perantara di Stesen Semantan ke Stesen Phileo Damansara. 

 

"Situasi ini menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan dan berhenti lebih lama di platform," menurut kenyataan itu hari ini.

mrt

Katanya, kerja-kerja mengenal pasti masalah giat dilaksanakan pasukan teknikal, selain memastikan pengguna dapat meneruskan perjalanan ke tempat kerja dengan selamat.

 

Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan dialami pengguna akibat masalah tersebut dan memaklumkan pelan servis alternatif akan terus diaktifkan sehingga perkhidmatan kembali normal. 

 

Sementara itu, Rapid KL menerusi Facebook memaklumkan, kerja-kerja baik pulih siap dilaksanakan dan perkhidmatan kembali beroperasi seperti biasa. - DagangNews.com