Gambar: Laman web MRT Corp
KUALA LUMPUR 13 April - Mass Rapid Transport Corp Sdn. Bhd. (MRT Corp) berhasrat untuk mengumpul dana swasta sebagai langkah untuk menjana 10% hingga 30% daripada jumlah projek pembangunan Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).
Langkah itu bertujuan mengurangkan perbelanjaan dan beban kerajaan ke atas projek tersebut, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Zarif Hashim.
“Ketika ini, kami sedang meneroka model hibrid dan menggunakan inisiatif kami sendiri untuk menarik syarikat-syarikat swasta,” katanya menurut laporan Bernama.
Katanya lagi, tender dijadualkan dibuka menjelang Ogos tahun ini.
Tambah beliau, buat masa ini, MRT Corp telah menerbitkan permohonan maklumat (RFI) untuk pemain industri yang menumpukan kepada transformasi kaedah pembinaan, pembangunan teknologi tempatan dan pemulihan ekonomi akibat pandemik.
“Oleh itu, kami berharap untuk menyaksikan industri tempatan menyuarakan perubahan yang dapat menarik lebih banyak pekerja Malaysia ke dalam projek itu selain membangunkan kemahiran tinggi dalam kalangan rakyat di negara ini,” katanya lagi.
Berbeza dengan projek MRT1 dan MRT2, MRT3 dijangka menjadi pemangkin untuk menghidupkan semula ekonomi dan teknologi negara.
Mohd. Zarif berharap projek yang mengambil masa selama 10 tahun itu akan dapat dimulakan pada tahun hadapan, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.
“Kita akan membangunkannya dalam lima fasa dan setiap darinya yang telah selesai dapat beroperasi secara berasingan untuk dihubungkan ke stesen pertukaran tanpa perlu menunggu seluruh projek selesai dalam masa 10 tahun,” katanya.
Beliau menganggarkan MRT3 dapat menjana 3.5 kali pulangan lebih tinggi daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan. - DagangNews.com