MSET Shipbuilding bina kapal nelayan moden diperbuat dari besi yang pertama di Malaysia  | DagangNews Skip to main content

MSET Shipbuilding bina kapal nelayan moden diperbuat dari besi yang pertama di Malaysia 

oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 12 Sept - MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat pembinaan dan baik pulih kapal milik Bumiputera terus melakar satu lagi sejarah dalam industri maritim negara apabila berjaya membina sebuah kapal nelayan moden diperbuat dari besi yang pertama seumpamanya di Malaysia.

 

Pengurus Besarnya, Khairul Aznam Allias berkata, keseluruhan peralatan perikanan dalam kapal itu juga menggunakan sepenuhnya kelengkapan sistem hydraulik dan mesin moden yang canggih dan berteknologi tinggi untuk kualiti tangkapan yang lebih baik dan menguntungkan.

 

Katanya, tidak seperti kelaziman kapal nelayan yang diperbuat daripada kayu, kapal nelayan moden itu memberikan perlindungan keselamatan dan keselesaan optimum kepada semua krewnya.


 

Khairul Aznam Allias
                                             Khairul Aznam Allias

 


"Kapal ini mampu meredah lautan walaupun pada musim tengkujuh dengan kapasiti muatan ikan sebanyak 150 tan yang dijamin segar dalam bilik sejuk beku. 

 

"Kapal ini dibina dengan tujuan untuk menangkap ikan di kawasan laut dalam C2, iaitu dari 30 batu nautika hingga ke 200 batu nautika berhampiran Zon Ekonomi Ekslusif (Exclusive Economic Zone).


  
"Pada kadar 'light ship', kapal ini boleh mencecah kelajuan sehingga 11 knot manakala pada beban penuh, kelajuan kapal adalah antara sembilan hingga 10 knot. 

 

"Selain itu, kapal ini juga mempunyai kapasiti tangki minyak yang besar dan berupaya mengharungi perjalanan sehingga 10 hingga 14 hari tanpa keperluan untuk isian semula dieselnya," katanya ketika ditemui pemberita di majlis pelancaran itu di Pulau Duyong pada Ahad.

 

Kapal yang dibina dengan kos RM8 juta itu mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan sepenuhnya dan dijangka mula beroperasi menangkap ikan di laut pada awal tahun depan.

 

Kapal sepanjang 29 meter yang akan dilengkapi dengan sistem tangkapan pukat jerut 'purse seiner' mampu untuk menyimpan sebanyak 120 tan hasil tangkapan segar dengan teknologi terkini untuk memenuhi polisi 'Hygiene on Board (HOB)' seperti mana ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia bagi tujuan komersial.


 

husna

 


Ia turut mendapat pengiktirafan oleh badan kawal selia pembinaan kapal negara, Badan Klasifikasi Kapal Malaysia (SCM) untuk beroperasi di sekitar perairan negara sehingga ke Asia Terenggara.

 

Kapal tersebut dimiliki oleh Amir Vision Sdn. Bhd. (AVSB) yang merupakan syarikat pengeluar makanan berasaskan hasil laut seperti isi ikan, keropok lekor dan bebola ikan yang beroperasi di Chendering, Kuala Terengganu.

 

Mengulas lanjut, Khairul Aznam berkata kapal itu turut dilengkapi kemudahan sama seperti kapal-kapal offshore yang lain iaitu kemudahan bilik tidur yang dilengkapi dengan katil, almari, ruang solat, ruang makan, bilik aktiviti dan ruang dapur yang kesemuanya dilengkapi penghawa dingin.

 

"Soal keselamatan tiada kompromi, oleh itu kapal ini telah dilengkapi dengan peralatan keselamatan dan navigasi moden seperti jaket keselamatan, pemadam api, Vessel Monitoring System (VMS), Marine Radar, alat komunikasi radio Marine Very High Frequency (VHF), pili bomba (Fire Hydrant), Life Raft, alat keselamatan Life Buoys, Fire Alarm, Search And Rescue Transponder (SART) Emergency Portable Indicator Radio Beacon (EPIRB) dan sebagainya.

 

"Selain itu, pembinaan kapal nelayan moden ini juga telah mematuhi kesemua 12 peraturan yang digariskan oleh Jabatan Perikanan Malaysia," katanya.

 

Walaupun MSET mempunyai banyak kepakaran dan pengalaman dalam membina ribuan jenis boat dan kapal sebelum ini, namun pembinaan kapal nelayan moden ini turut mempunyai cabarannya yang tersendiri.


 

husna

 


"Pembinaan kapal ini sememangnya begitu mencabar kerana Malaysia belum lagi mempunyai local 'proven hull' bagi kapal nelayan besi. 

 

"Oleh itu, MSET telah berkerjasama dengan designer kami bagi proses rekaan. Ia sangat sukar kerana mengambil kira aspek kejuruteraan, keselamatan dan berat besi untuk apungan yang stabil agar ia mampu berlayar dengan baik di lautan.

 

"Hasil gabungan erat MSET dan AVSB sebagai pelanggan akhirnya berjaya membina kapal nelayan moden yang pertama di Malaysia ini," katanya yang turut sedia menerima tempahan dari nelayan lain yang berminat untuk mendapatkan kepakaran syarikat itu. - DagangNews.com