MSM dijangka terus berdepan persekitaran kos yang tinggi, CGS-CIMB semak turun penarafan saham kepada 'kurang' | DagangNews Skip to main content

MSM dijangka terus berdepan persekitaran kos yang tinggi, CGS-CIMB semak turun penarafan saham kepada 'kurang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Feb - MSM Malaysia Holdings Bhd. dijangka terus terbeban dengan kos penapisan dan gula mentah yang lebih tinggi menjelang separuh pertama 2022.

 

Ini menyebabkan CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan sahamnya kepada saranan 'kurang' berbanding 'tambah' sebelum ini ekoran kebimbangan mengenai kenaikan kos dan tempoh masa yang diperlukan lebih lama untuk memulihkan semula operasi kilang penapisan di Johor.

 

Firma itu turut mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 93.2 sen daripada RM1.57 sebelum ini memandangkan MSM akan terus berdepan tekanan margin pada separuh pertama 2022 di tengah-tengah kos gula mentah dan pengangkutan serta penapisan yang tinggi (disebabkan harga gas).

 

Menurutnya, MSM kini menyasarkan kilang penapisannya di Johor mencapai faktor penggunaan (UF) sebanyak 40% dalam tahun kewangan 2022 (FY22), yang mana lebih rendah daripada anggaran sebelum ini iaitu 50% pada separuh pertama. 

 

"Namun, kami mendapati kumpulan menghadapi kelewatan dalam rancangan pengoptimumannya dan akan mencapai sasaran UF 40% hanya pada separuh kedua ini, dengan UF meningkat kepada 50 hingga 60% pada FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, MSM merekodkan kerugian bersih berjumlah RM16.16 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 berbanding untung bersih RM56.22 bagi tempoh sama 2020.

 

Pada suku dikaji, banjir kilat pada 18 dan 19 Disember telah menjejaskan sebahagian besar kawasan di Selangor, termasuk gudang sementara gula bertapis kumpulan yang terletak di Kota Kemuning.

 

Baca : Banjir jejaskan operasi MSM, catat kerugian bersih Q4 berjumlah RM16.16 juta

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21), MSM mencatatkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM2.26 bilion berbanding RM2.18 bilion dalam tempoh sama tahun lalu. 

 

Kumpulan juga merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM125.35 juta berbanding kerugian bersih RM71.23 juta. 

 

CGS-CIMB berkata, untung bersih teras MSM bagi suku keempat adalah di bawah unjurannya disebabkan kelemahan berbanding jangkaan daripada volum jualan dan kos penapisan yang lebih tinggi.

 

"Berdasarkan taklimat kami dengan pengurusan (semalam), kami dapati kos penapisan ini akan kekal tinggi pada suku pertama 2022.

 

"Sehubungan itu, kami mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras bagi FY22 hingga FY23 antara 47 hingga 53% dengan mengambil kira kos penapisan lebih tinggi dan volum eksport yang lebih rendah," jelasnya.

 

Dalam pada itu, firma tersebut yakin MSM sentiasa berusaha untuk memperbetulkan potensi risiko amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

Setakat 9.23 pagi ini, saham MSM muncul antara kaunter paling aktif diniagakan Bursa Malaysia, susut 20 sen atau 17.86% kepada 92 sen dengan 16.95 juta saham diniagakan. - DagangNews.com