MSM Johor sasar jadi pusat penapisan gula bertaraf dunia | DagangNews Skip to main content

MSM Johor sasar jadi pusat penapisan gula bertaraf dunia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd (MSM Johor), anak syarikat milik penuh MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) mengumumkan ia telah menyelesaikan kerja-kerja penukaran dandang kedua kilang penapisan gulanya.

 

MSM dalam kenyataan berkata, MSM Johor berupaya untuk menghasilkan gula pada tahap kapasiti pengeluaran reka bentuk yang efektif iaitu sebanyak 1 juta tan setahun.

 

Katanya, kerja dan prosedur telah diperakui mematuhi sepenuhnya keperluan dan dasar standard industri, terutamanya berkaitan dengan keselamatan dan kualiti. 

 

"Semua kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa dan badan kawal selia telah diperolehi, hasilnya dua dandang boleh beroperasi secara sah tanpa sebarang larangan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Johor (JKKP Johor). 

 

"Dengan selesainya kerja-kerja pembetulan dandang kedua, MSM Johor dijangka mencapai kadar faktor penggunaan (UF) minimum 50% sebagai sasaran jangka terdekat dengan peningkatan permintaan pasaran tempatan termasuk varieti tambahan dan eksport," katanya.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, untuk mitigasi tambahan, MSM Johor berada dalam fasa awal perolehan dandang ketiga untuk mengukuhkan lagi kemampanan operasi. 

 

Katanya, program penambahbaikan yang dirancang itu bertujuan bukan sahaja meningkatkan UF tetapi juga selari dengan visi MSM Johor untuk menjadi pusat penapisan gula bertaraf dunia. 

 

 

msm

 

 

"Terdapat peluang besar untuk mengembangkan eksport dengan pasaran lebih 4 juta tan setahun di Asia Pasifik yang mana MSM Johor mempunyai kelebihan geo-strategik dalam rantaian bekalan runcit dan industri.

 

"Syer pasaran eksport MSM di rantau Asia-Pasifik (APAC) untuk 2022 adalah sekitar 6% dengan Vietnam, Kepulauan Pasifik, Singapura, Korea dan Pakistan menjadi antara destinasi eksport utama," katanya.

 

Menurut Syed Feizal, pihaknya berhasrat untuk mengembangkan lagi jejak eksport antara 12 hingga 15% dalam tempoh terdekat. 

 

Katanya, harga gula global telah meningkat disebabkan kebimbangan keterjaminan makanan dan permintaan global mengatasi pengeluaran. 

 

"Daya tarikan pasaran eksport akan merangsang jumlah MSM ke China, Filipina dan Indonesia," katanya.

 

Sejak 1964, MSM telah mengukuhkan kedudukanya sebagai kilang penapisan gula negara yang terkemuka, menyediakan produk gula bertapis berkualiti tinggi untuk memastikan keterjaminan makanan Malaysia. 

 

"Selama bertahun-tahun, kami telah membangunkan asas yang kukuh dan terus memperhalusi model perniagaan kami untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran, kapasiti dan kemampanan. 

 

"Antara rancangan masa depan MSM Johor adalah untuk menggabungkan inisiatif tenaga hijau seperti biomass daripada tandan buah kosong kelapa sawit dan produk nilai tambah," kata Syed Feizal.

 

Katanya, disokong visi kepimpinan ekonomi kerajaan baharu, MSM menantikan realisasi tenaga hijau sambil mengurangkan kebergantungan bahan api fosil. 

 

Mengenai keterjaminan gula mentah, MSM sedang meneroka sokongan melalui penanaman huluan tebu di bawah inisiatif berskala besar yang dipacu oleh ramai pekebun kecil yang ingin meningkatkan hasil sosioekonomi. 

 

"Rancangan masih dalam fasa awal. Sebagai pengeluar gula terbesar di negara ini, MSM akan terus menyediakan keterjaminan makanan kepada negara di tengah-tengah pelbagai cabaran kos input yang tinggi terutamanya gula mentah, pengangkutan dan gas asli," katanya. - DagangNews.com