Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Julai - Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) yang baharu akan dikuatkuasakan mulai 1 Ogos depan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, standard tersebut merangkumi MSQoS khusus untuk menetapkan kualiti piawai minimum untuk perkhidmatan pelanggan.
Selain itu, tiga MSQoS sedia ada juga diperbaharui bagi meningkatkan piawai minimum kualiti perkhidmatan rangkaian telekomunikasi.
"Kepentingan perlindungan pelanggan amat diutamakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi penggunaan perkhidmatan telekomunikasi di bawah kawal seliaannya.
"MSQoS merupakan salah satu instrumen kawal selia utama yang diwujudkan bagi memastikan pengguna di Malaysia memperolehi perkhidmatan telekomunikasi yang berkualiti," jelas MCMC dalam satu kenyataan hari ini.
MSQoS yang baharu disediakan melalui Siasatan Awam bermula 8 April hingga 4 Jun 2021.
Susulan itu, MCMC telah mengeluarkan Laporan Akhir Siasatan Awam mengikut Seksyen 65 Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998 (AKM98) seperti berikut;
- MSQoS Perkhidmatan Pelanggan (baharu).
- MSQoS Jalur Lebar Tanpa Wayar.
- MSQoS Jalur Lebar Talian Tetap.
- MSQoS Perkhidmatan Selular Awam.
Tambah MCMC, MSQoS baharu itu akan membolehkan para pelanggan memastikan aduan yang dikemukakan diselesaikan dengan persetujuan selain memastikan pengalaman perkhidmatan jalur lebar tetap mahupun tanpa wayar pada tahap yang memuaskan.
Orang ramai dan pihak-pihak berkepentingan boleh merujuk Laporan Akhir Siasatan Awam MSQoS di laman sesawang rasmi MCMC melalui pautan di https://www.mcmc.gov.my/en/resources/reports/publicinquiry-report#. - DagangNews.com