MT UMNO mahu sokongan terhadap Ismail Sabri sebagai PM dikekalkan, terus dimantapkan | DagangNews Skip to main content

MT UMNO mahu sokongan terhadap Ismail Sabri sebagai PM dikekalkan, terus dimantapkan


 

KUALA LUMPUR 13 Jan - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sentiasa kekal.

 

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bukan sahaja sokongan dikekalkan, malah perlu terus dimantapkan.

 

Katanya, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Menara Dato Onn, di sini malam tadi.

 

Agenda lain yang dipersetujui MT UMNO ialah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 akan berlangsung selama empat hari bermula 16 Mac ini, dilaksanakan sepenuhnya secara bersemuka, dengan kehadiran 14 orang perwakilan daripada setiap Bahagian. 

 

“Kesemua lima perwakilan setiap sayap parti akan menghadiri perhimpunan agung masing-masing dengan pematuhan SOP (prosedur operasi standard), yang ditetapkan.

 

“Perasmian Perhimpuan Agung Wanita, Pemuda dan Putera UMNO berlangsung pada hari pertama (16 Mac) diikuti perhimpunan agung sayap pada 17 Mac,” katanya menerusi kenyataan selepas mesyuarat itu.

 

Ahmad berkata, pada 18 Mac akan berlangsung ucapan dasar dan perasmian PAU itu oleh presiden parti dan perhimpunan diteruskan pada hari terakhir (19 Mac).

 

Pada Disember lepas, UMNO membuat keputusan untuk menangguhkan PAU 2021 yang sepatutnya berlangsung pada esok (13) sehingga 15 Jan.

 

Penangguhan tersebut susulan bencana banjir yang berlaku di banyak kawasan dan pimpinan UMNO akar umbi diminta membantu mangsa-mangsa banjir.

 

“Selain itu, Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut memutuskan segala kesiapsiagaan dibuat bagi memastikan perjalanan parti baik untuk menghadapi pengundi berumur 18 tahun dan pengundi baharu.

 

“Mesyuarat juga merakamkan ucapan penghargaan kepada semua ahli dan  pemimpin UMNO di semua peringkat yang terlibat sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir,” katanya. - DagangNews.com