MTUC anggap kerajaan abaikan suara pekerja semasa merangka Pelan Induk Ekonomi Digital | DagangNews Skip to main content

MTUC anggap kerajaan abaikan suara pekerja semasa merangka Pelan Induk Ekonomi Digital

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]


SHAH ALAM 28 Ogos - Langkah Putrajaya untuk melancarkan Pelan Induk Ekonomi Digital pada Oktober ini, adalah satu lagi contoh kegagalan kerajaan untuk melibatkan pekerja atau berunding dengan pekerja dalam penggubalan undang-undang dan polisi penting yang membawa impak mendalam kepada kehidupan dan masa depan mereka, kata MTUC.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, J. Solomon berkata, MTUC 
yang mewakili 15 juta pekerja di negara ini, kesal kerana hanya mengetahui tentang kewujudan pelan induk berkenaan melalui media ketika ia diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapha Mohamed pada 13 Ogos lalu.

Menteri berkenaan berkata bahawa pendigitalan akan dikembangkan ke semua sektor, termasuk sektor bukan pembuatan, untuk memacu pertumbuhan terutama dalam keadaan negara menghadapi cabaran berikutan pandemik COVID-19.
 

tokpa
                         Mustapa Mohamed


Menurut Solomon, MTUC menganggap langkah memperkenalkan Pelan Induk Ekonomi Digital ini sebagai keputusan penting oleh kerajaan untuk memperbetulkan semula ekonomi Malaysia, yang akan memberi impak kepada banyak perniagaan yang seterusnya akan memberi kesan serius kepada ramai pekerja.

Katanya, pelan induk sedemikian akan menetapkan sasaran dan penanda aras dalam memajukan automasi dan pendigitalan dalam pelbagai sektor, dan oleh itu melibatkan isu penting seperti keselamatan pekerjaan dan peningkatan kemahiran serta latihan semula kepada jutaan pekerja.

Beliau berkata, pelan induk ini akan menjadi tidak produktif jika ia tidak mempunyai undang-undang yang relevan dan efektif bagi melindungi pekerja ketika syarikat-syarikat semakin agresif dalam melaksanakan automasi dan pendigitalan.

``
Walaubagaimanapun, amat sedih kerana sekali lagi kerajaan sekarang kelihatan mengabaikan keperluan untuk melibatkan MTUC dalam pelan induk ini sebelum ia dilancarkan.

"K
erajaan seakan-akan meniru kerajaan sebelum ini dengan mengenepikan wakil-wakil pekerja yang diberi mandat oleh Pertubuhan Pekerja Antarabangsa (ILO), dalam merangka polisi dan undang-undang yang memberi impak kepada pekerja di Malaysia.

"
Dalam bertindak sedemikian, kerajaan telah melakukan kecuaian yang serius dalam tanggungjawabnya serta menjejaskan jaminan yang diberikannya berkali-kali sebelum ini untuk memelihara kebajikan pekerja, terutama golongan B40 dan M40,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Solomin berkata, w
alaupun telah berkuasa selama lebih daripada enam bulan, kerajaan sekarang, terutama Kementerian Sumber Manusia (MOHR), masih belum membuat mesyuarat NLAC, biarpun ribuan pekerja telah kehilangan pekerjaan atau terpaksa menghadapi potongan gaji dan kesukaran lain yang tidak dapat dijangka berikutan pandemik COVID-19.

NLAC terdiri daripada MTUC, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan MOHR yang diwujudkan mengikut Konvensyen 144 ILO mengenai Perundingan Tiga Pihak berkenaan perkara yang melibatkan hak dan kebajikan pekerja.
 

mtug


"Oleh itu, kami kesal dengan rancangan kerajaan untuk melancarkan Pelan Induk Kebangsaan Mengenai Ekonomi Digital tanpa berunding dengan MTUC walaupun golongan pekerja akan menjadi barisan hadapan yang akan menerima kesan ekoran keputusan yang dibuat secara tidak teliti, berikutan perancangan yang lemah dan kegagalan kerajaan untuk melibatkan pemegang taruh yang relevan,'' ujarnya.

Sehingga kini kata beliau, MTUC belum dihubungi oleh MOHR atau mana-mana agensi kerajaan untuk memberi maklum balas atau membincangkan nasib pekerja di bawah Pelan Induk Kebangsaan Mengenai Ekonomi Digital.

Menurutnya, s
ebagai pusat pekerja kebangsaan, MTUC tiada halangan malah menyokong keputusan kerajaan untuk memberi penerangan tentang pendigitalan dan automasi pada skala besar sebagai polisi strategik untuk memacu ekonomi ke tahap seterusnya.

"
Walaubagaimanapun, pelan induk ini mestilah mempunyai langkah efektif dan menjelaskan mengenai perlunya undang-undang yang berkesan yang akan melindungi, mengekalkan dan meningkatkan kehidupan pekerja. Pekerja tidak boleh menjadi mangsa teknologi sebaliknya menjadi rakan setara dengan kerajaan dan majikan.

"
Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan bertanggungjawab untuk melibatkan pemegang taruh yang relevan seperti MTUC dan MEF, sama ada secara langsung atau melalui NLAC, untuk mendapatkan maklum balas dalam usaha merangka langkah-langkah berkesan yang mesti dimasukkan dalam pelan induk ekonomi digital ini.

"
Putrajaya tidak boleh menutup sebelah mata kepada perubahan yang telah melanda sektor kewangan yang bertukar kepada pendigitalan dan automasi secara pantas dalam beberapa tahun lepas,'' katanya.

Solomon berkata, b
iarpun sesetengah bank telah mengotakan janji mereka untuk menyediakan peningkatan kemahiran dan latihan semula untuk memastikan kakitangan mereka tidak menjadi pekerja lewah disebabkan automasi atau pendigitalan, bank-bank lain pula terus menghapuskan sesetengah pekerjaan dan memberhentikan pekerja mereka, dengan alasan pendigitalan dan automasi.

Katanya, b
ank-bank yang tidak berhati perut ini juga menggunakan taktik menghapuskan kesatuan sekerja di tempat kerja untuk menghentikan bantahan terhadap tindakan mereka untuk membuat penyumberan luar terhadap sesetengah operasi kepada pihak ketiga sama ada di dalam negara atau luar negara – sekali lagi – dengan menggunakan alasan pendigitalan.

Oleh itu ujar beliau, pemangsaan pekerja di sesetengah bank yang sedang berlaku boleh juga terjadi dalam skala besar kepada pekerja di sektor lain ketika negara diajukan dengan faedah pendigitalan tanpa kekangan di seluruh sektor.

Kebanyakan pekerja bank yang menjadi mangsa oleh majikan yang tidak bertanggungjawab ini adalah daripada golongan B40 dan M40. Kedua-dua kategori ini adalah pekerja yang terpinggir yang juga kemungkinan akan menjadi paling terkesan apabila Pelan Induk Kebangsaan Mengenai Ekonomi Digital ini dilaksanakan di semua sektor.

"
Sehubungan itu, kami dengan sekeras-kerasnya menggesa kerajaan melakukan perundingan secara bermakna dan efektif dengan NLAC untuk memastikan pandangan pekerja dan majikan didengar dan diperhalusi secara kolektif. Hanya melalui proses sebegini, kerajaan boleh melaksanakan pelan induk ini secara holistik dengan turut melindungi kepentingan pekerja.

"
Kerajaan tidak boleh mengenepikan MTUC atau NLAC dalam merangka polisi yang penting ini, kerana jika tidak, ia akan dituduh sebagai peniru Pakatan Harapan dengan mengabaikan suara pekerja,'' ujarnya.

"Adalah penting bagi Saravanan dan Mustafa untuk melaksanakan perundingan tiga pihak yang sebenar-benarnya dan bermakna, dengan MTUC dan MEF mengikut Konvensyen 144 ILO yang telah diratifikasi oleh Malaysia,'' kata Solomon.

Sehingga kini ujarnya, kurangnya inisiatif kerajaan untuk melindungi kehidupan pekerja B40 dan M40 telah menyebabkan kedudukan pekerja Malaysia semakin menurun pada kadar yang cepat. Pengurangan hak pekerja dalam segi pendapatan sebenar dan perwakilan kesatuan sekerja telah menyebabkan pekerja Malaysia menjadi paling menderita.

"Kerajaan telah gagal untuk merangka apa-apa pelan yang kukuh untuk menangani penggantian pekerja dan impak yang akan terjadi kepada masyarakat keseluruhannya.

"Oleh itu, MTUC bimbang bahawa Pelan Induk Eknomi Digital yang dirancang ini akan hanya menjadi satu usaha kerajaan untuk mengutamakan keuntungan kepada syarikat-syarikat swasta dan GLC berbanding kehidupan dan keselamatan pekerjaan bagi pekerja di Malaysia,'' katanya. - DagangNews.com