Muar Ban Lee muncul sebagai pemegang saham terbesar SWS Capital selepas membeli 18.73% kepentingan | DagangNews Skip to main content

Muar Ban Lee muncul sebagai pemegang saham terbesar SWS Capital selepas membeli 18.73% kepentingan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Muar Ban Lee Group Bhd muncul sebagai pemegang saham terbesar SWS Capital Bhd selepas membeli sejumlah 51.53 juta saham, mewakili 18.73% kepentingan dalam syarikat berkenaan.

 

SWS Capital adalah terlibat dalam perniagaan perabot dan barangan plastik.

 

Dengan Muar Ban Lee memegang 18.73% kepentingan dalam SWS Capital, ahli perniagaan Datuk Eddie Ong Choo Meng menjadi pemegang saham kedua terbesar dalam kumpulan dengan 13.07% kepentingan.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat tersebut telah membeli 12 blok saham berjumlah 51.53 juta dalam SWS Capital melalui pasaran terbuka antara 18 Julai dan 22 Ogos dengan kos pembelian ini berjumlah RM17.78 juta.

 

Pada akhir Disember tahun lalu, Muar Ban Lee mempunyai jumlah deposit, baki bank dan tunai sebanyak RM118.76 juta.

 

Muar Ban Lee, yang membiayai pelaburan itu menggunakan dana jana dalaman sendiri, berkata langkah strategik tersebut adalah sejajar dengan strategi pelaburannya bagi mempelbagaikan perniagaan ke segmen lain, seperti perniagaan barangan plastik dan perabot yang dimiliki oleh SWS Capital.

 

Minggu lalu, SWS Capital menamatkan perjanjian untuk membeli dua bidang tanah terletak di Pasir Gudang, Johor dan Klang, Selangor daripada Hextar Technologies Solutions Bhd (HexTech) kerana gagal mendapatkan pembiayaan.

 

Pada waktu penulisan, saham Muar Ban Lee menokok 1 sen atau 2.2% kepada 47.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM118.1 juta.

 

Sementara itu, saham SWS Capital menokok 2 sen atau 5.5% kepada 38.5 sen, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM105.9 juta. - DagangNews.com