Muhibbah Engineering catat rugi bersih RM1.28 juta pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Muhibbah Engineering catat rugi bersih RM1.28 juta pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Nov - Muhibbah Engineering (M) Bhd. mencatat kerugian bersih sebanyak RM1.28 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 daripada keuntungan bersih RM1.28 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu, bagaimanapun meningkat kepada RM253.05 juta daripada RM193.99 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Kumpulan mencatatkan hasil dan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah pada suku ketiga terutamanya disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada hasil pembinaan kerana kebanyakan projek utama berada di peringkat siap manakala projek baharu pula masih di peringkat awal.

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, syarikat kejuruteraan pembinaan itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM531,000 daripada RM7.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, dengan pendapatan juga susut kepada RM624.66 juta daripada RM701.51 juta. 

 

Pengeluaran kren terjejas akibat kuarantin beberapa kakitangan operasi dan pekerja akibat kes COVID-19 pada separuh pertama 2022 dan komponen serta kos penghantaran yang lebih tinggi disebabkan perang Ukraine.

 

Berikutan pembukaan semula sempadan di Kemboja pada November 2021 dan sekatan perjalanan global yang ditarik semula, lapangan terbang Kemboja menyaksikan peningkatan dalam ketibaan penumpang antarabangsa dan mempunyai keputusan kewangan yang lebih baik.

 

Setakat 14 November 2022, Muhibbah Engineering mempunyai nilai kontrak dalam tangan sebanyak RM1.1 bilion bagi segmen pembinaan dan kren.

 

Mengenai prospek kumpulan, ia berkata, ancaman daripada pandemik COVID-19 semakin berkurangan terhadap keseluruhan ekonomi global tahun ini.

 

Namun, katanya, terdapat kenaikan harga minyak mentah dan gangguan rantaian bekalan ekoran konflik di Ukraine.

 

"Kumpulan akan berusaha untuk meneruskan penambahan nilai kontrak di samping meneruskan usaha meningkatkan kecekapan kos dengan mengambil langkah dan tindakan yang sewajarnya seiring pembangunan global," katanya. -DagangNews.com