Muhyiddin gesa kerajaan henti siasatan, pendakwaan terpilih isu 3R | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin gesa kerajaan henti siasatan, pendakwaan terpilih isu 3R

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Sept - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan menghentikan siasatan dan pendakwaan terpilih ke atas pemimpin pembangkang yang didakwa menyentuh isu berkait 3R (agama, kaum dan raja) untuk menutup mulut rakyat.

 

Ahli PArlimen Pagoh itu mendakwa adalah tidak adil layanan diterimanya dan rakan pembangkang lain memandangkan pemimpin daripada blok kerajaan tidak pula dikenakan tindakan sama walaupun menyentuh isu berkait 3R.

 

"Apa yang penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang bertamadun ialah kemampuan pemimpin mengotakan janji-janjinya, berpegang teguh pada prinsip integriti dan amanah, cekap mengurus ekonomi dan prihatin terhadap kebajikan rakyat serta benar-benar adil dan saksama kepada semua.

 

"Berteraskan prinsip ini, saya menggesa kerajaan supaya menghentikan tindakan siasatan dan pendakwaan terpilih atas alasan 3R semata-mata untuk menutup mulut rakyat atau dengan izin 'to silent dissent'.

 

"Tetapi pemimpin di sebelah sana yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan jahat yang jelas mengapikan sentimen perkauman langsung tidak disentuh walaupun puluhan malah ratusan laporan polis dibuat ke atas mereka," katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Terdahulu, Muhyiddin selesai memberi keterangan kepada  polis  bagi membantu siasatan berhubung ucapan beliau dipercayai menyentuh isu 3R ketika berkempen di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 2 September lalu. 

 

Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Selain Muhyiddin, pemimpin Perikatan Nasional (PN) turut disiasat berkaitan isu 3R ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor, pada 26 Ogos lalu.

 

Sebelum itu, Pengarah Pilihan Raya PN merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor didakwa atas dua pertuduhan membuat kenyataan hasutan terhadap raja.- DagangNews.com