BAHAGIAN PERTAMA
SEBAGAI bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad (DDMM) memikul tugas dan amanah mencabar lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik COVID-19.
Ikuti wawancara eksklusif antara Marzuki dengan portal ikatan.my bagi mendapatkan pandangan dan pengalaman dalam kerajaan khususnya membantu Muhyiddin dalam menangani isu-isu negara, ekonomi dan COVID-19.
Transkrip wawancara ini disiarkan semula oleh DagangNews.com dalam tiga bahagian:
IKATAN: Untuk permulaan, mungkin Datuk dapat berkongsi sedikit dengan pembaca tentang bagaimana pada awalnya Datuk terlibat hingga dilantik menjadi KSU Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY).
DDMM: Terima kasih kerana menjemput saya pada petang ini untuk hadir dalam satu temubual untuk berkongsi pandangan mengenai beberapa isu berkaitan perkembangan semasa. Saya mula mengenali TSMY ketika zaman saya belajar di universiti lagi. Saya berkhidmat sebagai pelatih (intern) di sebuah pusat penyelidikan ketika itu sekitar tahun 1995-96.
Pada masa itu TSMY adalah Menteri Belia dan Sukan dan saya melakukan penyelidikan dalam membantu menyediakan penulisan, kertas cadangan dan sebagainya. Selepas itu, ketika Muhyiddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) pada tahun 2009, saya ditawarkan untuk berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada TPM. Pada masa itu saya mengajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan saya dipinjamkan ke Pejabat TPM. Kemudian selepas PRU ke 13, TSMY minta saya untuk melihat politik lebih sedikit. Jadi, saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan.
IKATAN: Semasa menjadi pegawai khas, tugas Datuk khususnya apa?
DDMM: Saya buat penyelidikan mengenai dasar dan saya banyak membantu dalam hal-hal berkaitan pendidikan dan isu-isu sosial, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain. Kementerian Pendidikan pada masa itu membuat kajian berkenaan dengan Education Blueprint 2013-2025. Saya bertindak sebagai Liaison Officer (Pegawai Seranta) antara Pejabat TPM dan Kementerian Pendidikan pada masa itu. Kemudian selepas TSMY berada di dalam pembangkang, iaitu selepas beliau dipecat dari Kabinet, saya balik mengajar di UIA dan saya terus membantu beliau.
Selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan Muhyiddin dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, saya kembali berkhidmat dengan beliau sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas (PTTK). Tugas saya adalah untuk melihat hal-hal berkaitan dasar dan hal ehwal Parlimen. Setelah TSMY dilantik menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020, saya diberi tanggungjawab sebagai Ketua Setiausaha Sulit (KSUS) Kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri sehingga beliau meletak jawatan pada 16 Ogos yang lalu.
IKATAN: Maknanya dari segi pengalaman, Datuk antara orang yang paling dipercayai oleh TSMY daripada Pegawai Khas dilantik sebagai Setiausaha Politik (SETPOL) sehingga dilantik Ketua Setiausaha Sulit (KSUS).
Jadi, ketika menjawat jawatan PM, kepimpinan Muhyiddin, bagaimana Datuk melihat karakter dan usaha TSMY apabila dia mengambil alih kerajaan sejak bulan Februari dan bulan Mac terus kita hadapi serangan COVID-19. Sepanjang masa itu bagaimana Datuk melihat kerja, wawasan, usaha TSMY?
DDMM: Ya, saya ini pegawai daripada dulu sampailah sekarang masih lagi berkhidmat dengan Muhyiddin. Saya memerhati dari segi kerja-kerja yang dibuat. Beliau fokus kepada tugas. Bila ada tanggungjawab, TSMY betul-betul melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan kepada beliau. Kalau ikutkan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, saya ingat dalam tempoh seminggu dua sahaja kita terus berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19 dan saya lihat bagaimana kita tiada masa untuk honeymoon (bulan madu). Biasanya ada honeymoon period. (Kita) tiada. Kita terus buat kerja.
Saya masih ingat lagi pada masa itu Muhyiddin berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat keputusan lockdown (kawalan pergerakan). Walaupun ada pelbagai pandangan tetapi beliau melihat bahawa pada masa itu, itulah cara yang paling sesuai diambil. Kita masih belum tahu the behavior of the virus (tindak-tanduk virus) di seluruh dunia. Ini suatu virus yang baru.
Beliau buat keputusan untuk menjaga keselamatan nyawa rakyat. Ini soal nyawa dan telah ada orang-orang yang dijangkiti. Dalam mengawal virus ini daripada menular, banyak negara telah melaksanakan lockdown. Jadi itu satu keputusan berat yang diambil kerana ia melibatkan kesan terhadap kehidupan rakyat terutama sekali dari segi ekonomi.
Jadi, kerana itu Muhyiddin pada ketika itu nekad untuk melaksanakan lockdown. Mulanya untuk tempoh dua minggu, kemudian disambung dua minggu lagi dan ditambah lagi.
Dalam membuat keputusan lockdown, beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Kena fikir dari segi kehidupan rakyat. Kerana itu diumumkan banyak pakej-pakej rangsangan ekonomi.
Kalau kita tutup sahaja sektor-sektor ekonomi, tidak benarkan orang pergi bekerja tetapi tidak disediakan bantuan, mungkin dalam seminggu boleh tahan lagi. Tetapi masuk dua minggu tiada pendapatan, tiada simpanan. Kerana kebanyakan orang kita tidak menyimpan wang. Data menunjukkan mungkin kalau dia tidak bekerja, dia boleh bertahan paling lama sebulan. Selepas itu dia tidak boleh bertahan lagi dan terpaksa meminjam duit untuk beli makanan.
Jadi, Muhyiddin pada ketika itu meminta Menteri Kewangan supaya cari duit bagaimana hendak memberikan bantuan-bantuan ini. Akhirnya sepanjang kita berhadapan dengan pandemik ini, bukan setakat kita melaksanakan kawalan-kawalan pergerakan tetapi juga bantuan-bantuan diberi. Hampir setiap golongan masyarakat terima bantuan daripada sejumlah RM530 billion pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat yang disediakan oleh kerajaan dalam tempoh 17 bulan.
Ini saya fikir satu pakej rangsangan ekonomi yang terbesar dalam sejarah negara. Kalau saya ingat zaman PH dahulu, kerana saya pun dalam PH pada masa itu, bila disebut bantuan untuk rakyat jawapannya kita tiada duit. Tetapi rupanya ada duit. Kita duduk di situ rupanya ada duit yang kita boleh cari di mana-mana untuk tujuan membantu rakyat.
Memanglah tahap hutang meningkat sedikit tetapi hutang ini kita boleh bayar apabila kita ada pendapatan. Bila ekonomi telah dibuka dan sumber pendapatan negara bertambah, hutang itu kita boleh bayar. Tetapi yang penting ialah nyawa dan kehidupan rakyat yang terlibat. Kita lihat dalam tempoh 17 bulan itu perkara utama yang dilaksanakan ialah bagaimana hendak memastikan nyawa rakyat selamat dan pada masa yang sama kehidupan mereka juga boleh dibela, terutama sekali dari segi pendapatan.
Ramai yang terkesan. Saya baru balik dari Langkawi untuk melihat sektor pelancongan yang baru dibuka. Itupun wisdom (kebijaksaan) juga kerana kita tengok sektor pelancongan ini adalah antara sektor yang paling teruk terjejas.
Orang tidak boleh melancong kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tidak boleh bergerak ke sana sini. Jadi hotel, homestay (inap desa), pengusaha kenderaan pelancongan dan lain-lain banyak yang terjejas.
Saya lihat data di Langkawi sahaja kerajaan membelanjakan lebih RM 140 juta dalam bentuk subsidi upah kerana sesetengah hotel ini tidak boleh ditutup. Kalau ditutup dan tiada maintenance (penyelenggaraan) hotel-hotel ini akan rosak. Jadi mereka terpaksa upah pekerja-pekerja walaupun tiada pendapatan perniagaan.
Jadi, ini kadang-kadang kita terlepas pandang. Jumlah subsidi upah yang diberikan oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu pengusaha hotel dan sebagainya untuk mengekalkan pekerja walaupun tidaklah menampung keseluruhan tetapi meringankan beban.
Saya lihat ada yang tidak dapat terus terlibat dalam sektor pelancongan semasa PKP dilaksanakan dan mereka terpaksa menjadi nelayan untuk cari sumber pendapatan.
Kita lihat kehidupan rakyat memang terjejas. Kerajaan dengan TSMY sebagai Perdana Menteri pada ketika itu melihat perkara ini sebagai satu yang penting bagi kita. Dasar kita ialah prihatin kepada rakyat.
Tidaklah kita kata kita laksanakan PKP dan kita tidak lihat dari segi aspek yang lain. Kerana itu, kerajaan telah beberapa kali melaksanakan pakej rangsangan ekonomi. Selepas satu, satu dilaksanakan – PRIHATIN, PEMULIH, PEMERKASA dan lain-lain. – DagangNews.com
BERSAMBUNG KE BAHAGIAN DUA DI SINI
BAHAGIAN KETIGA DI SINI