Muhyiddin tidak sepatutnya letak jawatan – Kajian UKM | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin tidak sepatutnya letak jawatan – Kajian UKM

 

KUALA LUMPUR 9 Sept - Satu kajian persepsi awam menunjukkan sebanyak 92% responden tidak bersetuju Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan Perdana Menteri sebagai pilihan bagi menyelesaikan ketidakstabilan politik dalam negara.

 

Sebaliknya, sebahagian besar responden atau 49.3% percaya Pilihan Raya Umum ke-15 patut diadakan, namun setelah pandemik COVID-19 terkawal.

 

Kajian yang dilakukan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga mendapati, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu terus memerintah dengan sokongan Pakatan Harapan (PH) berasaskan satu persefahaman yang dipersetujui bersama.

 

Hanya 16% responden percaya pilihan raya umum perlu diadakan segera dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat sebagai jalan menyelesaikan politik negara.

 

Bertajuk Kajian Persepsi Awam terhadap Pengurusan Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Demokrasi di Malaysia, kajian tersebut dilakukan seluruh negara menggunakan tinjauan bersemuka membabitkan 2,627 responden.

 

Hasil kajian pada bulan Mac dan April 2021 itu telah dibentangkan hari ini pada Siri Seminar Webinar IKMAS oleh Profesor Madya Helen Ting dan Profesor Madya Andrew Kam.

 

Prf Madya Helen Ting
Profesor Madya Helen Ting

 

 

Sementara itu berhubung isu lompat parti oleh ahli-ahli Parlimen, kajian itu mendapati majoriti responden setuju ahli Parlimen berkenaan sepatutnya meletak jawatan dan pemilihan semula diadakan.

 

 

prof andrew kam
Prof Madya Andrew Kam

 

 

Sebanyak 34.5% berpendapat wakil rakyat berkenaan tidak sepatutnya bertukar parti, 14% bersetuju ahli Parlimen ‘lompat parti’ meneruskan tugas, dan 8% berpendapat perbuatan tersebut hak ahli Parlimen berkenaan. - DagangNews.com