MUHYIDDIN Yassin berbual menerusi telefon dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Khamis. - Gambar Facebook Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin hubungan baik Malaysia dan Singapura akan terus ditingkatkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, dalam satu perbualan telefon beliau dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Khamis, isu hubungan dua hala Malaysia dan Singapura turut dibincangkan.
Menurut Muhyiddin, Hsien Loong memberi jaminan langkah memperkasakan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai aspek akan terus diperkasakan.
"Secara peribadi, saya amat menghargai nilai persahabatan yang ditunjukkan Lee Hsien Loong, bukan sahaja kebelakangan ini, bahkan ketika kami saling mengenali lama dahulu.
"Masih segar di ingatan pertemuan bersemuka dan bersejarah kami di tengah-tengah Tambak Johor pada Julai tahun lepas, iaitu sejurus saya menjawat jawatan Perdana Menteri, manakala beliau sendiri baru saja mengangkat sumpah bagi menyambung tugas sebagai Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.
Muhyiddin memaklumkan, beliau menerima panggilan telefon dari Hsien Loong yang ingin mengetahui perkembangannya selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri. - DagangNews.com