Muktamadkan pembelian pesawat tempur ringan LCA/FLIT demi keperluan pertahanan negara  | DagangNews Skip to main content

Muktamadkan pembelian pesawat tempur ringan LCA/FLIT demi keperluan pertahanan negara 

Tender bagi 18 buah pesawat LCA/FLIT bernilai RM4 bilion itu telah menarik minat beberapa syarikat pengeluar pesawat termasuk HAL dari India
Fokus Berita oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 8 Dis - Mengikut jangkaan, sepatutnya perolehan pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA/FLIT) bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah pun diumumkan.

 

Ini berdasarkan proses-proses yang telah pun berlaku sepanjang pemilihan untuk menentukan firma mana yang bakal memenangi tender tersebut.

 

Tender bagi perolehan 18 buah pesawat LCA/FLIT itu telah diiklankan pada 22 Jun 2021 dan ditutup pada 6 Oktober 2021.

 

Lima bulan kemudiannya iaitu pada 17 Mac lalu Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan telah memutuskan petender yang disenarai pendek diikuti surat permohonan untuk mengadakan pemeriksaan fizikal dan rundingan harga.

 

Surat permohonan berkenaan telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan pada 15 April 2022 untuk kelulusan.

 

Berdasarkan proses-proses tersebut, maka bolehlah diandaikan sepatutnya keputusan calon pesawat berkenaan akan diumumkan pada akhir tahun ini.

 

Dengan bulan Disember hanya berbaki 23 hari, sekiranya tiada keputusan dimuktamadkan bermakna ia mungkin diumumkan dalam suku pertama tahun hadapan.

 

 

TUDM
Kepimpinan baharu Kementerian Pertahanan hendaklah memutuskan perolehanan LCA/FLIT sepertimana dirancang

 

 

Pentas terbaik ialah sebelum Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa (LIMA) agar calon pesawat dapat dipertontonkan kepada umum sepertimana lazimnya.

 

Perolehan LCA/FLIT merupakan perkara kedua yang dinanti-nantikan dalam senarai perolehan terbaharu Angkatan Tentera Malaysia selain program menyambung semula pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

 

Pesawat-pesawat ini bukan sahaja menambahkan aset sedia ada TUDM tetapi keperluannya lebih daripada itu.

 

LCA/FLIT yang turut dilengkapi dengan sistem persenjataan seperti peluru berpandu maritim ini nanti boleh memperkasakan ruang angkasa negara dekat perairan Laut China Selatan.

 

 

TUDM
Pesawat Leonardo M346 antara disebut sebagai calon LCA/FLIT TUDM

 

 

Bagaimana pun, ada kebimbangan perolehan LCA/FLIT ini terganggu susulan laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa proses tender tidak dipatuhi.

 

Dikatakan laporan dibuat oleh pihak yang turut terlibat dalam persaingan dalam tender berkenaan.

 

Pada masa sama, perubahan kepimpinan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu juga tidak mustahil merencatkan lagi proses ini sekiranya kerajaan yang baharu mempunyai kemahuan berbeza.

 

Sebaliknya pula, perolehanan LCA/FLIT masih boleh dimuktamadkan dengan kerajaan memutuskan pilihan pesawat dan melaksanakan rundingan terus dengan negara pengeluar.

 

Apabila perkara itu diputuskan maka perbincangan akhir melibatkan kerajaan melalui pelbagai agensi yang terbabit dengan pihak firma pengeluar pesawat sahaja.

 

Tender bagi 18 buah pesawat LCA/FLIT bernilai  RM4 bilion itu telah menarik minat beberapa syarikat pengeluar pesawat yang mempertaruhkan model keluaran mereka.

 

Antaranya Korea Industries Aerospace (KAI), Hindustan Aeronautics Ltd (HAL), Pakistan Aeronautical Complex/Chengdu Aircraft Industry Group serta China National Aero-Technology Import & Export Corp (CATIC).

 

Turut bersaing ialah Leonardo dari Itali dan Saab Group (Sweden).

 

 

TUDM
LCA dapat mengimbangi kekuatan sedia ada TUDM seperti skuadron Sukhoi-30MKM

 

 

Lapan daripada pesawat ini nanti mempunyai konfigurasi sebagai pesawat FLIT manakala baki 10 buah merupakan pesawat tempur ringan.

 

Program LCA/FLIT yang diumumkan pada 2018 melibatkan dua fasa dengan 36 buah pesawat kesemuanya untuk melengkapkan sebuah skuadron FLIT dan dua skuadron LCA.

 

Skuadron LCA ini dapat mengimbangi kekuatan sedia ada TUDM iaitu masing-masing sebuah skuadron Sukhoi-30MKM dan F/A-18D Hornet.

 

Nilai tender RM4 bilion walaupun tidak besar berbanding perolehan pesawat di negara lain tetapi peluang untuk menang di Malaysia dapat memberikan signifikan tersendiri. 

 

Ini kerana perolehan tersebut boleh menawarkan peluang perniagaan jangka panjang sekurang-kurangnya 20 tahun bergantung kepada hayat pesawat.

 

Justeru, dalam memenangi tender ini, firma terlibat mengemukakan pelbagai tawaran seperti pemindahan teknologi, membina kemudahan senggaraan dan baik pulih pesawat serta lain-lain industri hiliran.

 

Daripada jumlah pesawat yang bersaing pula dikatakan dua jenis LCA/FLIT mendahului persaingan berdasarkan ciri-ciri yang cenderung sepertimana ditetapkan TUDM.

 

Pesawat FA-50 buatan KAI dan Leonardo M-346 FA (Fighter Aircraft) disebut-sebut sebagai calon pilihan, namun sebarang kemungkinan boleh berlaku.

 

Dalam hal ini, kepimpinan Kementerian Pertahanan di bawah Menteri Pertahanan yang baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan pasti telah diberikan gambaran tentang apa keperluan ATM termasuklah program perolehan semasa.

 

Memandangkan program LCA/LIFT telah pun memasuki fasa akhir, jadi adalah tidak wajar jika ia ditangguhkan lagi kerana keperluan pertahanan negara melebihi segalanya. - DagangNews.com