KUALA LUMPUR 19 Okt - Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd meraikan Hari Roti Sedunia bersama murid berkeperluan khas sambil berkongsi cara terbaik untuk menyediakan sandwic Gardenia kegemaran mereka dengan cara menyerlahkan kreativiti dalam setiap keping roti.
Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL), Ena Suhaila Abas berkata, melalui usaha ini, pihaknya berhasrat untuk menzahirkan kreativiti pelajar dalam setiap keping roti melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
"Rakyat Malaysia tidak putus menyokong jenama roti Gardenia selama ini. Sempena Hari Roti Sedunia tahun ini, Gardenia Bakeries (KL) mengambil peluang untuk meraikannya bersama murid-murid berkeperluan khas.
"Kami berharap para pelajar gembira dan seronok dengan aktiviti yang dianjurkan oleh Gardenia Bakeries (KL). Kami sangat berbesar hati dapat meluangkan masa berkualiti bersama pelajar-pelajar dan membuktikan kepada mereka bahawa Gardenia sentiasa ada bersama mereka," katanya dalam kenyataan media di sini.
Turut hadir dalam program itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zainudin Mohamad dan Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sinar Bintang Kuala Lumpur, Teon Hock Bin.
Menurut Zainudin, aktiviti yang boleh membantu memberi kesedaran anjuran pihak swasta amat dialu-alukan bagi membantu kementerian dalam menyampaikan mesej khidmat masyarakat kepada pelajar di seluruh Malaysia.
Menjelang program tersebut, pasukan Gardenia melawat 13 buah stesen Transit Aliran Ringan (LRT) di seluruh Lembah Klang untuk menjual sandwic kepada penumpang LRT.
Inisiatif yang bermula pada 17 Ogos dan berakhir pada 27 September lepas itu bertujuan untuk menyediakan sarapan pagi berkualiti pada harga hanya RM1 dan pada masa sama mengumpul dana yang diperuntukkan untuk Hari Roti Sedunia 2023 oleh Gardenia Bakeries (KL).
Warga Gardenia berjaya menjual sebanyak 10,000 sandwic pada harga RM1 setiap satu. RM10,000 yang terkumpul disumbangkan kepada lima buah sekolah termasuk SMK Sinar Bintang, SMK Pendidikan Khas Setapak, Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Jalan Batu, SK Khas Jalan Peel, dan SK Pendidikan Khas Kg Baharu.
Setiap sekolah menerima RM1,000 beserta alat tulis khas. Selain itu, SMK Sinar Bintang selaku tuan rumah turut menerima TV pintar sebagai tanda penghargaan.
Gardenia Bakeries (KL) ingin meraikan lebih banyak lagi golongan masyarakat di Malaysia pada Hari Roti Sedunia pada tahun-tahun akan datang sebagai tanda terima kasih kerana memilih Gardenia sebagai jenama pilihan selama 37 tahun. - DagangNews.com