Musim candat sotong beri pulangan lumayan kepada pengusaha bot di Terengganu | DagangNews Skip to main content

Musim candat sotong beri pulangan lumayan kepada pengusaha bot di Terengganu

Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 14 Jun - Musim mencandat sotong dengan hasil tangkapan luar biasa yang bermula sejak April lalu memberi limpahan rezeki untuk pengusaha bot, nelayan dan tekong di Terengganu. 

 

Beberapa pemilik bot, nelayan dan tekong yang dihubungi DagangNews.com mengakui tempahan bot meningkat hampir tiga kali ganda berbanding tahun lalu.


 

parafrasa

 


Pemilik bot, Dr Mohd Hairil Mohd berkata, ramai yang teruja mahu mencuba nasib mencandat sotong di Terengganu setelah berita mengenai hasil tangkapan luar biasa itu tular di media sosial.

 

"Boleh dikatakan, setiap malam, bot akan ditempah untuk membawa mereka ke sekitar perairan Pulau Redang, Pulai Perhentian, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah.


 

parafrasa
Dr Mohd Hairil Mohd bersama hasil tangkapan sotong.

 


"Tempahan bot sentiasa penuh hingga September depan dan ramai pemilik bot yang saya kenal juga tak menang tangan melayan permintaan pelanggan dari seluruh negara.

 

"Paling banyak ada yang dapat hingga 300 kilogram (kg) sotong dalam satu malam. Kalau individu yang kurang mahir, ada yang dapat antara 150 hingga 200 kg," katanya yang akan berusaha mencari 'lubuk sotong' untuk memenuhi permintaan pelanggan.


 

parafrasa

 


Harga sewa bot yang dikenakan untuk satu malam ialah antara RM1,500 hingga RM2,000 bergantung saiz dan bilangan kapasiti penumpang yang dibenarkan mengikuti spesifikasi ditetapkan Jabatan Laut Malaysia.


 

parafrasa
Asri Husin menunjukkan sotong segar hasil aktiviti mencandat di Kemaman baru-baru ini.

 


Seorang tekong, Asri Husin, 42, berkata, pendapatannya meningkat hampir tiga kali ganda setelah dia bekerjasama dengan lima pemilik bot untuk mengatur tempahan yang datang dari peminat aktiviti candat tersebut.

 

"Saya jadi orang tengah antara pelanggan dengan pemilik bot. Banyak tempahan yang datang hasil promosi mulut ke mulut pelanggan yang berpuas hati dengan khidmat disediakan.

 

"Saya juga iklankan perkhidmatan ini di media sosial Facebook, Instagram, YouTube dan WhatsApp. Boleh dikatakan tahun ini sambutan agak luar biasa kerana tangkapan sangat banyak," katanya yang memberi tumpuan aktiviti candat sotong di sekitar Pulau Tenggol, Dungun dan Kemaman.


 

parafrasa

 

 

Seorang kakitangan swasta, Azmi Kamarulzaman Mohd Nor, 38, berkata, dia sanggup mengambil cuti setiap minggu untuk pergi mencandat sotong bersama kawan-kawan yang datang dari Kuala Lumpur dan Johor Bharu.

 

"Setiap tahun, memang saya akan pelawa kawan-kawan sertai aktiviti ini kerana ia adalah pelancongan berasaskan pengalaman dan pada masa sama dapat tambah pendapatan.


 

parafrasa

 


"Tahun ini, hasil tangkapan sotong sangat banyak dan hasil pemerhatian saya, ini adalah impak positif penguatkuasaan undang-undang di Laut China Selatan yang dijalankan pelbagai pihak.

 

''Terima kasih diucapkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis marin dan Jabatan Perikanan kerana aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan berjaya mencegah pencerobohan nelayan asing.

 

"Hasilnya, kami dapat menjana pendapatan lumayan dari aktiviti mencandat sotong ini yang kini menjadi tarikan utama di Terengganu," katanya. - DagangNews.com