Muslim Pro, SEDULUR beri bantuan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan di Selangor | DagangNews Skip to main content

Muslim Pro, SEDULUR beri bantuan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan di Selangor

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Dis - Muslim Pro, aplikasi keagamaan dan komuniti Islam popular di dunia bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Lebajikan Sedulur (SEDULUR) menyampaikan bantuan makanan dan keperluan harian kepada 410 rumah di Klang, Shah Alam, Hulu Langat dan Banting.

 

Selain itu, Muslim Pro turut menyumbangkan AS$10,000 (RM42,265) kepada mangsa banjir daripada suku Orang Asli Mah Meri di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun; Sungai Lui, Batu 18, Kampung Bukit Lanchong, Seksyen 23 dan Jalan Impian di Shah Alam.

 

Ketua Negara Muslim Pro bagi Malaysia, Nik Emir Din berharap, usaha kecil itu dapat membantu mangsa banjir yang kesusahan untuk pulih dan membina semula kehidupan mereka.

 

"Muslim Pro bersedih dengan bencana yang menimpa mangsa dan kami komited dalam memainkan peranan kami dalam membantu mereka yang terkesan termasuk mereka yang kehilangan rumah dalam tragedi ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ini merupakan kerjasama kedua Muslim Pro dan SEDULUR selepas kali terakhir bersama Julai lalu dalam menyampaikan bantuan kepada golongan B40 yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Antara usaha yang dilakukan Muslim Pro dan SEDULUR termasuk memberikan makanan dan keperluan harian seperti produk kebersihan diri dan ubat-ubatan selain bantal, tilam, selimut dan dapur gas kepada keluarga yang terkesan.

 

bankir

 

SEDULUR dengan kerjasama NGO lain sudah menggerakkan lebih 100 sukarelawan untuk membantu mangsa membersihkan kediaman mereka selepas banjir mula surut.

 

Pengerusi SEDULUR, Abdul Rahman Nikman berkata, pihaknya teruja dengan bantuan yang diberikan organisasi seperti Muslim Pro dan orang awam dalam membantu mangsa banjir.

 

vaf

 

"Ini jelas menunjukkan semangat Keluarga Malaysia  dan cara mereka bersatu dalam memberi bantuan kepada mereka yang kesusahan," katanya. - DagangNews.com