Mustapha tekad atasi pengangguran belia, bimbing pelajar miskin tegar di Kementerian Pendidikan Tinggi | DagangNews Skip to main content

Mustapha tekad atasi pengangguran belia, bimbing pelajar miskin tegar di Kementerian Pendidikan Tinggi

Datuk Mustapha Sakmud
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Datuk Mustapha Sakmud yang baharu diumumkan ditukar portfolio baharu sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berazam untuk menurunkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.

 

Beliau yang sebelum ini Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, kadar pengangguran belia yang kini pada tahap 10.1% adalah antara isu penting yang akan diberikan perhatian.
 

 

Katanya, beliau juga akan berusaha membimbing pelajar dari kalangan miskin tegar dan dari pedalaman untuk menghabiskan pengajian.

 

"Sesuai portfolio baharu saya di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), saya akan memberi perhatian kepada isu-isu yang dekat dengan pemegang taruh kementerian.

 

"Saya akan teruskan komitmen dan jalankan amanah sebagai timbalan menteri sebaik mungkin di kementerian pimpinan Menteri KPT, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Mustapha, beliau akan memberi perhatian terhadap usaha meminimumkan ketidakpadanan pekerjaan yang mengakibatkan guna tenaga tidak penuh.

 

Beliau turut memberi perhatian untuk memperkasa sinergi antara akademik dan industri dalam mencapai objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kerangka Ekonomi Madani dengan mendasari silibus akademik yang mengutamakan pendedahan industri sebenar.

 

"Saya akan memastikan bakat mencukupi dalam negara sebagaimana permintaan para pelabur dengan melahirkan mahasiswa berkemahiran tinggi yang kalis masa depan. 

 

"Selain itu, memastikan libat urus antara pelajar dan agensi kerajaan berjalan dengan baik sebagai pendedahan kepada keperluan semasa," katanya.

 

Katanya, memastikan pelajar yang menjalani latihan praktikal mendapat elaun yang setimpal dan mempromosikan kesedaran kesihatan mental serta memperkasa kekuatan emosi dan spiritual pelajar antara perkara yang diambil perhatian.

 

Beliau juga bertekad memperkasa pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET) merentas 12 kementerian yang dihubung dengan kerjasama bersepadu.

 

"Saya juga akan meneruskan inisiatif Jejak TVET Madani bagi menonjolkan graduan TVET institusi pengajian tinggi (IPT) berbakat besar dalam perusahaan dan merealisasikan hasil inovasi IPT dipasar secara komersial," katanya.

 

Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi peluang kepadanya menyambung perkhidmatan di KPT selepas setahun berkhidmat di Kementerian Sumber Manusia (KSM).

 

"Fokus Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat darjat negara melalui kemakmuran ekonomi rakyat dizahirkan dengan rombakan kabinet yang lebih dinamik. Walaupun saiz kabinet bertambah, ia merupakan jumlah yang optimum dan masih kecil berbanding kerajaan terdahulu.

 

"Terima kasih saya ucapkan buat seluruh warga kerja KSM yang begitu komited menjayakan agenda Malaysia Madani selama saya bertugas sebagai timbalan menteri," katanya. - DagangNews.com