MVIA gesa kerajaan pinda peraturan sedia ada sebagai langkah interim kawal selia vape | DagangNews Skip to main content

MVIA gesa kerajaan pinda peraturan sedia ada sebagai langkah interim kawal selia vape

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - Kerajaan perlu mengambil satu langkah interim secepat mungkin dengan meminda peraturan sedia ada untuk mengawal selia industri vape sambil menunggu perbincangan yang teliti dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) berkenaan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dan cadangan Dasar Generasi Penamat (GEG).

 

Presiden Malaysia Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, minggu lalu, Menteri Kesihatan telah merujuk RUU tersebut kepada JKPK sebaik apabila ia dibentang untuk bacaan pertama di Parlimen. 

 

Katanya, memandangkan RUU tersebut hanya akan dibentang semula di Parlimen akhir tahun ini selepas ia selesai diteliti JKPK, langkah interim adalah diperlukan buat masa ini.

 

"Ini membolehkan industri vape dikawal selia terutamanya untuk membendung isu penggunaan individu bawah umur dan memastikan kandungan produk mematuhi piawaian yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan yang boleh memberi persepsi negatif kepada industri," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Rizani berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) harus mengambil cadangan meminda peraturan sedia ada seperti Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dengan terbuka kerana langkah interim ini dapat memperkenalkan larangan penjualan dan penggunaan individu bawah umur sekali gus membendung isu ini daripada berlarutan.

 

Menurut beliau, kawalan produk vape melalui Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 bukannya suatu perkara yang tidak pernah dibuat. 

 

Katanya pada 2019, kerajaan juga telah meluaskan larangan penggunaan vape di kedai makan dan tempat awam yang mana membuktikan bahawa peraturan tersebut boleh dipinda dan digunapakai untuk mengawal selia produk vape. 

 

 

mvia
                                            Rizani Zakaria

 

 

"Kementerian perlu terbuka dengan langkah interim ini. Pindaan peraturan ini bukan bermaksud RUU tersebut tidak akan dibentang pada masa depan. 

 

"Langkah interim ini bertujuan untuk memastikan supaya produk vape tidak tercapai individu bawah umur dan pada masa sama pengguna dewasa boleh mengakses produk terkawal dari segi piawaian," katanya.

 

Beliau juga menyambut baik keputusan KKM untuk merujuk RUU tersebut kepada JKPK dan berpendapat ia adalah langkah tepat kerana RUU itu perlu disemak semula agar ia mengambil kira kepentingan dan pandangan semua yang terlibat terutamanya berkaitan dengan cadangan GEG yang teramat kontroversial ini.

 

"Semua pihak perlu bekerjasama dan mencari penyelesaian titik tengah dalam perkara ini. Kami di pihak industri memohon agar JKPK membuat sesi perbincangan dengan semua pihak dan mengkaji dengan menyeluruh cadangan GEG ini," katanya.

 

Katanya, sesi perbincangan bersama semua pihak adalah sangat penting kerana cadangan GEG ini bakal memberi kesan yang agak besar kepada keseluruhan ekosistem industri secara langsung dan tidak langsung.

 

Beliau sebelum ini juga turut menyatakan bahawa industri tidak bersetuju dengan cadangan GEG kerana ia akan mengharamkan produk ini dalam jangka masa panjang dan merupakan satu langkah yang terlalu drastik. 

 

"Secara terangnya, cadangan GEG ini akan menjejaskan usahawan tempatan yang sebelum ini telah melabur jutaan ringgit untuk mengembangkan industri serta kesan kepada tenaga kerja mahir dalam industri ini. 

 

"Dari segi ekonomi negara pula, ia memberikan mesej yang salah kepada pelabur asing kerana sudah pasti ia akan membuatkan pelabur beralih ke negara lain, sedang Malaysia mempunyai pembekal berkualiti yang bertaraf dunia," katanya.

 

Tambahnya, semua pihak perlu melihat proses ini sebagai langkah yang akan mencari penyelesaian titik tengah. - DagangNews.com