MYAirline masih berharap bantuan pelabur berpotensi untuk beroperasi semula | DagangNews Skip to main content

MYAirline masih berharap bantuan pelabur berpotensi untuk beroperasi semula

KUALA LUMPUR 8 Nov - MYAirline Sdn Bhd yang baru-baru ini digantung perkhidmatannya, masih berharap untuk mendapatkan bantuan ‘sayap’ baharu iaitu pelabur berpotensi bagi membolehkannya mengatasi kemelut dan kembali beroperasi. 

 

Pada 12 Oktober lepas, syarikat penerbangan tambang rendah itu patah sayap apabila tidak mampu meneruskan operasi atas alasan “menghadapi cabaran kewangan yang serius.”

 

Berikutan itu, pihak berkuasa terpaksa bertindak menggantung lesen syarikat itu dan pada masa sama melancarkan siasatan membabitkan penggubahan wang haram terhadap individu-individu yang ada kaitan dengan MYAirline.

 

"Kami benar-benar berharap dapat menyelamatkan MYAirline kerana masih perlu membayar gaji serta bayaran balik kepada penumpang.

 

"Lebih penting lagi, MYAirline adalah satu produk yang bagus dan kami sedar telah mencatat pencapaian berbeza di pasaran,” kata Pengarah merangkap Eksekutif Bertanggungjawab MYAirline, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman kepada Bernama.

 

Beliau optimis dalam usaha mendapatkan pelabur baharu bagi memastikan kebajikan lebih 900 pekerja terbela selain membuat bayaran balik kepada 117,000 penumpang yang terjejas.

 

"Daripada 15 pelabur yang berpotensi, dua kini di peringkat rundingan lebih lanjut. Pelaburpelabur ini merupakan syarikat aeroangkasa berpangkalan di luar negara serta terbabit dalam operasi perniagaan lain di Malaysia.

 

 

myairline

 

 

"Tiada satu pun daripada pelabur berpotensi serta dua yang di peringkat akhir rundingan itu mempunyai kaitan dengan mana-mana penggiat tempatan," katanya.

 

Jelas beliau, sebaik halangan itu dapat diatasi, tumpuan akan diberikan kepada usaha menyambung semula perkhidmatan dan membuat bayaran balik kepada penumpang terjejas.

 

"Proses bagi menyambung semula operasi itu akan memakan masa beberapa bulan kerana pemeriksaan terhadap pesawat perlu dibuat selain menyelesaikan isu berkaitan lesen," katanya.

 

Untuk rekod,  Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah bertindak menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) MYAirline pada 1 November lepas.

 

Mavcom turut menegaskan bahawa MYAirline bertanggungjawab untuk membayar balik penumpang yang terjejas sebagaimana ditetapkan  mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016, walaupun lesen berkenaan telah digantung.

 

 

myairline

 

 

Biarpun berdepan kesukaran isu terbabit, Azharuddin menegaskan bahawa tugas yang perlu ditangani adalah jelas.

 

Ini termasuk dalam keadaan yang mana kehidupan  para pekerja dan reputasi syarikat itu menjadi keutamaan.

 

"Saya dan pasukan sedang berusaha gigih untuk memastikan kami berupaya mendapat pelabur baharu untuk MYAirline.

 

"Di sebalik keadaan yang dihadapi ini, kami terus menerima pesanan daripada penumpang serta pihak berkepentingan yang mengharapkan agar kami dapat beroperasi semula. Ini memadai sebagai penguat semangat untuk memastikan kami dapat mencapai matlamat itu," katanya.

 

 

myairline

 

 

Terlalu awal untuk gagal


  
Azharuddin turut mengakui faktor-faktor seperti gabungan kos tinggi, kemerosotan modal serta pelan pengembangan yang agresif menjadi antara sebab yang membawa kepada nasib dialami syarikat penerbangan itu. 

 

Harapan untuk melihat MYAirline mampu terbang semula, berakhir selepas usaha memuktamadkan perjanjian dengan satu pelabur berpotensi bertukar buntu di saat-saat akhir pada 11 Oktober lepas.

 

"Kami tahu perlu mendarat, tetapi tidaklah menyangka pendaratan itu sebegitu sukar," katanya ketika berkongsi analogi syarikat itu ibarat sebuah pesawat yang dalam proses mendarat.

 

Lebih-lebih lagi, faktor beban muatan bukanlah isu utama bagi MYAirline.

 

Sejak memulakan penerbangan sulung pada 1 Dis, 2022, MYAirline mencatatkan faktor muatan pada purata 91% selain menerbangkan lapan pesawat Airbus A320-200 sehingga 12 Oktober lepas dengan prestasi ketepatan masanya melebihi 90%.

 

Mengorak langkah dengan hanya dua pesawat, ia mempunyai kekuatan sembilan pesawat dalam tempoh operasi selama 11 bulan.

 

Sewaktu operasinya digantung, MYAirline menerima kehadiran pesawat ke-10 dan ke-11 selain mempunyai barisan juruterbang dan pembantu juruterbang yang mencukupi bagi mengendalikan kesemua pesawat berkenaan.

 

Apakah mudah memulakan perniagaan syarikat penerbangan?

 

Azharuddin sebelum ini merupakan pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, berkata undang-undang menetapkan bahawa syarikat penerbangan boleh mula beroperasi dengan minimum dua pesawat.

 

Mengikut Arahan Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam  6004 -- syarat pengeluaran dan pembaharuan Sijil Pengendali Udara (AOC) bagi satu-satu kumpulan atau armada perlu merangkumi sekurang-kurangnya dua pesawat atau helikopter untuk operasi berjadual.

 

Bagaimanapun, spesifikasi itu boleh dikurangkan kepada satu pesawat atau helikopter bagi operasi bukan jadual.

 

Beliau berkata, bagi mendapatkan satu AOC antara lainnya memerlukan kumpulan pesawat itu mengandungi pesawat yang berdaftar di Malaysia selain jenis pesawat, kakitangan berkelayakan yang mencukupi, destinasi penerbangan dan saiz modal dengan dokumentasi yang sewajarnya.

 

Realiti di sebalik persaingan sihat

 

Sementara itu, Ketua Penganalisis Pusat Penerbangan Asia Pasifik, Adrian Schofield pula menyifatkan persaingan terlalu sengit atau berlebihan boleh melemahkan kedudukan syarikat penerbangan selain mengancam aspek daya maju - realiti yang sebaliknya tidak sihat untuk penumpang, industri penerbangan atau pun ekonomi negara.

 

"Malaysia misalnya mempunyai bilangan syarikat penerbangan yang bagus dengan tawaran jumlah jaringan antarabangsa yang meluas. Pada masa sama, ini memberi pilihan baik untuk penumpang bagi syarikat penerbangan dengan perkhidmatan sepenuhnya dan penerbangan tambang rendah dengan banyak pilihan menerusi syarikat penerbangan yang berpangkalan di luar negara.

 

"Berikutan itu, sukar sebenarnya untuk melihat keperluan sebenar bagi penambahan syarikat penerbangan di Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata, ini disukarkan lagi dengan syarikat penerbangan Malaysia berdepan isu kenaikan harga bahan api, inflasi serta kadar tukaran mata wang asing yang tidak menarik.

 

Justeru, peningkatan permintaan dan pendapatan dapat  membantu mengimbangi cabaran ini dengan banyak syarikat penerbangan berupaya mengurangkan kos menerusi usaha penstrukturan semula sewaktu tempoh pandemik, katanya. - DagangNews.com