MyDigital jalin kerjasama dengan sektor swasta untuk capai aspirasi digital | DagangNews Skip to main content

MyDigital jalin kerjasama dengan sektor swasta untuk capai aspirasi digital

Fabian Bigar (kanan) bersama Tan Sri Dr. Hj. Mohd. Nasir Mohd Ashraf dan  Andrew Siow pada sidang akhbar mengenai Ekspo dan Forum Negara Pintar 2022, di Kuala Lumpur, 18 Ogos 2022.

KUALA LUMPUR 19 Ogos - MyDigital Corporation akan mewujudkan inisiatif perkongsian dan kerjasama di antara sektor awam dengan swasta untuk merealisasikan matlamat dan aspirasi bersama di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB).

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Fabian Bigar berkata Pasukan Petugas Projek Pemangkinan MyDigital telah ditubuhkan untuk bertanggungjawab menetapkan kriteria bagi pemilihan projek pemangkin merentas semua sektor industri dan domain teknologi.

 

Beliau berkata usaha itu bertujuan memudahkan dan menangani cabaran tertentu yang mungkin dihadapi syarikat semasa menerima guna teknologi digital dan
infrastruktur.

 

“Semua projek ini perlu memberikan impak awam yang jelas dan ketara di samping memacu pertumbuhan ekonomi digital pascapandemik,” katanya semasa sidang media mengenai Ekspo dan Forum Negara Pintar 2022 di sini, pada Khamis.

 

Mengenai ekspo itu, beliau berkata, reruai MyDigital akan mempamerkan beberapa usaha yang sedang dijalankan untuk memastikan inisiatif kerajaan seperti MDEB dan Dasar 4IR Negara dapat dilaksanakan dalam kehidupan sebenar.

 

“Kami juga akan mengetengahkan rakan kongsi sektor swasta kami dalam projek pemangkinan MyDigital.

 

"Pemudahan projek ini adalah imperatif nasional yang strategik, dan kami berharap lebih banyak syarikat Malaysia akan berinovasi dan bersifat menyesuai supaya aspirasi mereka terus berjaya terutama dengan menerima guna pendigitalan,” katanya.

 

Fabian yakin ekspo dan forum itu akan menjadi peluang terbaik untuk perniagaan mewujudkan jalinan dan memperoleh rakan kongsi global dan prospek, manakala delegasi pula akan mempunyai pandangan jauh mengenai teknologi dan penyelesaian terkini yang tersedia dalam pasaran.

 

“Hal ini selaras dengan objektif dasar MDEB untuk menggalakkan peserta industri menjadi pencipta, pengguna dan penerima guna model perniagaan inovatif,” katanya.

 

MDEB dilancarkan pada Februari 2021 sebagai komponen bagi merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12, dengan objektif untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2030, dibantu oleh digital dan dipacu teknologi menerusi tiga fasa. 

 

Fasa pertama, untuk memperkukuh asas bagi penerimagunaan digital, akan berakhir pada hujung 2022.


Anggota delegasi serta peserta berjumlah lebih 20,000 dijangka mengambil bahagian dalam acara antarabangsa secara peribadi di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu.

 

Acara tiga hari mulai 27 September 2022 bertemakan ‘Mempercepat Transformasi Digital’ itu akan mengetengahkan 10 zon utama iaitu tenaga pintar, komunikasi pintar, pembuatan pintar dan IR4.0, kerajaan pintar, tenaga pintar, mobiliti pintar, keselamatan pintar, bangunan pintar, penjagaan kesihatan pintar dan pendidikan pintar.

 

Ekspo itu juga akan menjadi hos bagi  Kongres Bandar Pintar ASEAN 2022 yang menampilkan lebih 50 penceramah dan ahli panel dari 10 negara dengan 500 perwakilan yang mewakili datuk bandar, pegawai bandar dan perancang. - DagangNews.com