MyEG peroleh 3 peluang pendapatan melalui projek COVID-19 KKM | DagangNews Skip to main content

MyEG peroleh 3 peluang pendapatan melalui projek COVID-19 KKM

MyEG

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Okt. - My E.G. Services Berhad (MyEG) dilihat memperoleh tiga peluang kewangan dan pendapatan melalui projek berkaitan COVID-19 yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

CGS-CIMB Research berkata, bagaimanapun kumpulan tersebut tidak meletakkan nilai tetap dalam projek berkenaan disebabkan oleh kebergantungan kepada jumlah transaksi dan pilihan perkhidmatan yang dibuat pengguna.

"Kami mengetahui MyEG akan ada tiga peluang penjanaan kewangan daripada projek yang diberikan oleh KKM. Pertama, penjanaan kewangan daripada bayaran pemeriksaan ujian COVID-19 yang berharga antara RM30 hingga RM150 bagi warganegara Malaysia dan RM60 hingga RM250 bagi warga asing, namun ia bergantung kepada jenis ujian pengesanan yang dilakukan.

"Kedua, penjanaan kewangan daripada bayaran perkhidmatan untuk kuarantin wajib di fasiliti peribadi.

"Dan peluang penjanaan kewangan yang ketiga ialah melalui perkhidmatan 'meet and greet' untuk membantu pelancong sepanjang proses saringan wabak. Kami difahami bahawa ujian saringan wabak akan dilakukan dua kali iaitu pada waktu ketibaan dan pad hari ke-14 selepas ketibaan," jelas CGS-CIMB Research.

Semalam, MyEG dalam pemaklumannya kepada Bursa Malaysia memberitahu, pihaknya telah menerima surat lantikan daripada KKM untuk projek sistem pembayaran dalam talian yang akan membolehkan pelancong mendaftar dan membuat pembayaran selepas ketibaan untuk ujian saringan COVID-19 dan bayaran kuarantin di semua pintu masuk negara.

Projek berkenaan bertujuan memudahkan pihak kerajaan dalam mengendalikan wabak COVID-19 dengan mempercepatkan proses saringan dan penetapan lokasi kuarantin kepada pelancong domestik dan luar negara.

Tempoh projek berkenaan bermula November 2020 hingga Oktober 2022.

Susulan itu, CGS-CIMB Research mengambil keputusan untuk mengekalkan ramalan pendapatan syarikat berkenaan sementara menunggu persidangan bersama pihak pengurusan.

CGS-CIMB Research juga mengekalkan saranan 'tambah' saham MyEG dengan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM1.96. - DagangNews.com