MYHackathon 2020, platform lahir ramai usahawan tekno | DagangNews Skip to main content

MYHackathon 2020, platform lahir ramai usahawan tekno

 

 

 


KUALA LUMPUR 26 Jan. - MYHackathon 2020 boleh menjadi platform kepada kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan buruh asing. 

 

Ini memandangkan program tersebut dapat membantu menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan usahawan tekno di negara ini terutama dalam kalangan belia selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021- 2030 dan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE).

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ia bertujuan bagi memperhebatkan usaha pembangunan dan penggunaan teknologi tempatan dalam usaha mentransformasikan negara daripada pengguna teknologi kepada pembangun teknologi.

 

Katanya, usaha-usaha tersebut amat kritikal ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

 

"Kita memerlukan kesemua ‘talent and brain bank’ yang ada dan tiada siapa yang lebih memahami permasalahan rakyat lebih daripada rakyat sendiri.

 

"Idea program jelajah MYHackathon ini yang mana kita mengetengahkan penyelesaian digital dari rakyat untuk rakyat supaya ia dapat diterima pakai oleh kementerian dan agensi berkaitan bermula tahun ini," katanya dalam acara penutup MYHackaton 2020 secara maya hari ini. 

 

Program MYHackathon 2020 yang dilancarkan Oktober lalu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan merupakan suatu komitmen berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Kewangan dan agensi terlibat untuk memastikan proses digitalisasi dapat dilakukan secara berperingkat dan
menyeluruh di Malaysia.

 

Siri jelajah hackathon ini meliputi 6 lokasi di seluruh negara, bermula dari Kuala Lumpur, kemudian beralih ke Kota Terengganu, Johor Bahru, Kuching, Pulau Pinang dan berakhir di Kota Kinabalu. 

 

Kesemua siri jelajah ini telah diadaptasi dan diadakan 100% secara dalam talian termasuklah sesi
pitching para peserta. 

 

Hasilnya, program ini berjaya mengumpul dan mengenalpasti 36 idea penyelesaian yang diangkat sebagai pemenang dan berpotensi untuk digilap bagi menerajui proses digitalisasi perkhidmatan awam.

 

Menurut Khairy, kementerian juga telah menyediakan lebih RM220 juta peruntukan pembiayaan dana, sama ada menerusi program pendanaan sedia ada atau menerusi pembiayaan Dana R&D baharu iaitu Program Dana Pemacu Teknologi Strategik (Pemacu). 

 

Program itu bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan dan inovasi menerusi Malaysia Grand Challenge (MGC).

 

"Sehubungan itu, saya ingin mengajak semua pihak, tidak kira individu, syarikat mahupun institusi pengajian untuk bersama-sama mengambil peluangmenerusi MGC ini dalam usaha kita memartabatkan agenda sains, teknologi dan inovasi negara. 

 

"Pendekatan ini sejajar dengan asiprasi membina ekonomi mapan dan inklusif seperti mana yang telah kita gariskan di dalam DSTIN dan MySTIE," katanya. - DagangNews.com