KUALA LUMPUR 12 Jun - RHB Investment meramalkan untung bersih MyNews Holdings Bhd pada FY25 kembali ke paras pra pandemik sebanyak RM28 juta selepas tempoh tunggu hasil CU tamat pada tahun ini.
Katanya, berakhirnya tempoh tunggu hasil CU serta sumbangan progresif daipada MyNews dan pemulihan pusat pemprosesan makanan (FPC) seharusnya mendorong kepada penarafan semula.
Firma penyelidikan itu berkata, penggabungan pasukan pengurusan MyNews dan CU telah menghasilkan kuasa penawaran lebih baik dengan pembekal.
"Penggabungan itu telah meningkatkan jualan CU dengan menambah baik pelbagai produk selaras dengan pilihan pelanggan.
"Selain itu, usaha pengoptimuman kos yang berterusan – seperti memasukkan logistik untuk perancangan laluan yang lebih cekap dan kawalan pembaziran serta perbelanjaan penyelenggaraan – telah mengurangkan kerugian CU.
"Kami percaya CU berada di penghujung tempoh tunggu hasil dan bersedia untuk pulang modal menjelang akhir FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
RHB Investment berkata, dengan sasaran pengembangan sebanyak 100 kedai pada FY24 dan fokus utama kepada jenama MyNews dilihat akan memacu pertumbuhan pendapatan yang konsisten pada masa hadapan.
Katanya, selain itu, sejumlah 34 kedai SuperValue setakat 1QFY24, kumpulan itu merancang untuk menukar beberapa kedai MyNews secara berperigkat menjadi cawangan SuperValue bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pasar mini.
"Sementara itu, kerugian FPC mengecil secara drastik kepada RM200,000 pada 1QFY24 hasil daripada jumlah jualan yang lebih kukuh, dan kadar penggunaannya dijangka meningkat daripada tahap pulang modal sebanyak 70%, sejajar dengan pembukaan kedai baharu," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) 81 sen sesaham.- DagangNews.com