Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian antara MYNIC dan UTMSpace yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE, Prof. Dr. Azlan Ab. Rahman secara maya hari ini
KUALA LUMPUR 30 Sept. - MYNIC Bhd. bekerjasama dengan UTMSpace untuk memperkasakan para usahawan agar terus kompetitif dan relevan terhadap persekitaran perniagaan serba moden.
Kerjasama strategik ini adalah usaha untuk mengembangkan potensi para pelajar sebagai persediaan mereka menjadi usahawan tempatan yang mampu menembusi pasaran e-dagang antarabangsa.
Di samping itu, MYNIC turut bertanggungjawab sebagai platform untuk menyediakan latihan keusahawanan digital dan pembangunan laman sesawang eDagang yang mampan kepada para usahawan tempatan
Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, program ini adalah inisiatif MYNIC dalam membantu dan membawa perniagaan secara tradisional untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan dalam talian dan seterusnya bersedia menghadapi pasaran global ekonomi digital.
“MYNIC amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan UTMSpace bagi menjayakan program seumpama ini, yang secara tidak langsung dapat berkongsi ilmu keusahawanan digital dan meningkatkan penglibatan usahawan tempatan di dalam sektor e-dagang.
"Selain itu, program ini dapat membuka ruang dan peluang pendapatan, di samping mendukung usaha kerajaan memperluas aktiviti ekonomi digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Satu majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama UTMSpace diadakan hari ini secara maya yang disempurnakan Hasnul Fadhly dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UTMSPACE, Prof. Dr. Azlan Ab. Rahman.
Kerjasama MYNIC bersama UTMSpace sebagai rakan strategik ini menawarkan sijil profesional dalam Keusahawanan Digital yang diakreditasikan oleh London Examination Board (LEB).
Hasnul Fadhly berkata, MYNIC memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital sebagai pendaftar dan pentadbir nama domain. MY.
Antara modul latihan yang ditawarkan adalah teknik efektif penggunaan SEO, pemasaran digital melalui media sosial dan laman sesawang serta penambahbaikan kandungan digital bagi membantu perniagaan kekal berdaya saing selari dengan era digitalisasi.
Sesi pemantauan berkala turut dijalankan bagi memantau perkembangan dan kefahaman para peserta terutamanya perkara berkaitan laman sesawang, keberkesanan pemasaran digital dan pelaksanaan strategi media sosial.
"Kami akan teruskan usaha untuk melahirkan lebih ramai usahawan melalui latihan-latihan pendigitalan.
"Malah, MYNIC ingin memastikan lebih banyak peluang melalui inovasi digital supaya para usahawan ini lebih bersedia untuk berdepan dengan cabaran digitalisasi," katanya. - DagangNews.com