Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Sept. - Pemaju hartanah, Myra memperkenalkan konsep rumah pertama serba moden pada harga berpatutan melalui Myra Gardens.
Pengurus Besar Jualan dan Pemasarannya, Wendy Lim berkata, Myra Gardens adalah konsep kediaman pertama yang dibangunkan dalam kawasan bandar dengan rekaan moden.
"Sesuai dengan gaya hidup yang semakin moden, kami bangunkan kediaman yang boleh memberi kegembiraan kepada pemilik apabila mereka pulang bekerja dan dapat meluangkan masa bersama orang tersayang.
"Di sini, pembeli rumah tidak perlu bimbang tentang penjagaan landskap atau ke tempat riadah kerana Myra Gardens dibina dengan memenuhi kesemua keperluan asas mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Myra Gardens adalah konsep rumah pertama yang dibangunkan bersama elemen moden dalam bandar yang dilengkapi dengan kemudahan kelab dan alam semula jadi.
Kediaman tersebut dibangunkan sebanyak 587 unit di Kundang, Rawang, Selangor dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM440,000,000.00 pada harga RM243 per kaki persegi.
Penghuni kediaman turut ditawarkan perkhidmatan landskap yang akan diuruskan sepenuhnya oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) pada anggaran harga RM150.
Selain itu, Myra Gardens turut menyediakan kelab dan tasik seluas 7.8 ekar selain kemudahan kolam renang, gim, dewan serbaguna, ruang kerja bersama serta kawasan pejalan kaki di sekitar tasik.
Pelancaran fasa pertamanya iaitu Aster dengan 96 unit rumah teres dua tingkat (20x70) yang dibina dengan keluasan 1654 kaki persegi dijual pada harga RM429,000 bersama bayaran tempahan RM1,000.
Tambah beliau, Myra Gardens turut menekankan aspek keselamatan dengan pengawasan selama 24 jam selain dilengkapi kawasan berpagar.
"Pembeli turut mempunyai kemudahan akses pengangkutan awam selain mudah untuk mengakses ke lebih raya utama seperti Lebuhraya Guhrie, LATAR dan Utara-Selatan dalam masa 10 minit," tambahnya. - DagangNews.com