Fong Hon Sum
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Mac – Platform jualan kenderaan terpakai dalam talian, myTukar telah menandatangani perjanjian usaha sama strategik bersama Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sebagai rakan niaga tukar beli kenderaan.
Melalui usaha sama itu, myTukar akan memudahkan proses tukar beli untuk pelanggan EON dengan melakukan pemeriksaan kenderaan oleh pemeriksa bertauliahnya, jika menerima permintaan daripada pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Fong Hon Sum yakin bahawa usaha sama itu akan berjaya dengan adanya rangkaian pengedar EON yang kukuh, di samping menyediakan peluang kepada EON untuk meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggannya.
“myTukar sangat berbesar hati mendapat peluang bekerjasama dengan salah satu konglomerat terbesar Malaysia yang memiliki perniagaan automotif begitu komprehensif.
"Kolaborasi ini membolehkan EON memanfaatkan platform teknologi milik myTukar dalam menyediakan penilaian yang pantas dan telus untuk tukar beli kenderaan kepada para pelanggan EON.
"Ini dapat memantapkan lagi pengalaman pelanggan di rangkaian EON kerana kini menjadi sebuah pusat solusi sehenti yang efektif,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
EON yang merupakan anak syarikat DRB-HICOM Berhad menjadi wakil pengedar untuk beberapa jenama antaranya, Proton, Mitsubishi, Audi dan Volkswagen, masing-masing melalui EON, EON Automart, Euromobil dan HICOM Auto.
Rangkaian EON meliputi 20 cawangan di seluruh negara.
Senada Hon Sum, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Syed Faisal Albar melihat usaha sama itu merupakan situasi sama menang yang menyediakan potensi dan peluang besar kepada kedua-dua belah pihak.
“Ini adalah satu sinergi yang mantap dan kami sangat gembira kerana menemui rakan niaga yang sehaluan seperi myTukar. Tukar beli sering kali menjadi satu perkara yang menyusahkan pembeli kenderaan, yang kini semakin memerlukan proses transaksi telus dan ringkas.
“Kami yakin sistem tukar beli inovatif myTukar ini berupaya meningkatkan jualan kenderaan baharu di seluruh cawangan kami, dan lebih penting dapat memantapkan lagi pengalaman pelanggan kami secara keseluruhan di semua cawangan.
"Seterusnya membolehkan kami memberi lebih nilai kepada pelanggan kami,” kata Syed Faisal dalam kenyataan sama.
Sebagai permulaan, kolaborasi bersama EON itu hanya akan meliputi Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, menurut myTukar, platformnya akan berkembang pesat dengan pembukaan tujuh cawangan baharu di seluruh negara pada tahun ini.
Pembukaan lebih banyak cawangan di Malaysia Timur bermula dengan Kuching dan Kota Kinabalu sedang dirancang, dan pastinya ia memberi manfaat yang lebih besar kepada EON di masa hadapan, tambah kenyataan itu.
myTukar merupakan syarikat pertama dalam industri kenderaan terpakai secara dalam talian di Malaysia yang dianugerahkan pensijilan berprestij ISO 9001:2015 untuk Sistem Pengurusan Kualiti.
Pensijilan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan myTukar dalam memastikan jualan kenderaan berteknologi inovatif untuk berada di tahap terbaik dari segi kualiti, keyakinan dan ketelusan di semua peringkat, jelas platform itu lagi. – DagangNews.com