NAICO bakal bangunkan program berstruktur aeroangkasa - MITI | DagangNews Skip to main content

NAICO bakal bangunkan program berstruktur aeroangkasa - MITI

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mac - Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO) bertanggungjawab untuk mengembangkan program pembangunan berstruktur bagi industri aeroangkasa di negara ini. 

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberitahu, program itu akan menekankan penambahbaikan ekosistem tempatan, pelaksanaan Industri 4.0 dan pembangunan profesional aeroangkasa bagi generasi akan datang.

 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong percaya inisiatif itu akan memperkukuh rantaian bekalan aeroangkasa tempatan dan menambah baik struktur kos mereka di samping memastikan daya saing di peringkat global.

 

Lim Ban Hong
Lim Ban Hong

 

“Bagi memperkukuhkan ekosistem aeroangkasa tempatan, MITI akan terus membantu pemain industri tempatan untuk mengembangkan daya saing mereka menerusi pelancaran teknologi hebat dan transformasi digital.

 

“MITI juga menggalakkan syarikat tier 1 dan 2 untuk bekerjasama dengan pembekal global dan menggalakkan mereka untuk melabur ke dalam Malaysia dengan menubuhkan anak syarikat di sini atau menerusi usaha sama dengan rakan kongsi rakyat Malaysia.

 

“Ini sudah tentu akan menyumbang kepada kewujudan kelompok rantaian bekalan kondusif buat mereka. MITI dan agensi-agensinya akan memudahkan usaha berkenaan dengan menyediakan pakej-pakej insentif termasuk sokongan bagi projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta modal insan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Kata Ban Hong, industri aeroangkasa telah dikenal pasti oleh kerajaan sebagai sektor penting yang menerajui pengembangan teknologi teras paling kompleks di dunia di mana boleh diterapkan pada industri lain.

 

Dalam menentukan hala tuju kemajuan industri, kerajaan akan melaksanakan rancangan tindakan yang lebih mantap di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025), ujar beliau.

 

Tambahnya, sejak pelaksanaan insiatif utama di bawah Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 diterajui oleh NAICO di bawah MITI, industri berkenaan telah menonjolkan pertumbuhan stabil dari segi hasil dan nilai eksport. 

 

Ban Hong berkata, industri berkenaan dijangka menjana hasil tahunan sebanyak RM55.2 bilion dan mewujudkan 32,000 pekerjaan menerusi subsektor industri.

 

“Di bawah Belanjawan 2021, kerajaan mengumumkan lima projek aeroangkasa yang dijangka menghidupkan semula industri berkenaan dan memastikan daya saing secara global. 

 

“Sebanyak RM15 juta diperuntukkan bagi program pembangunan industri aeroangkasa, meliputi promosi ekosistem industri aeroangkasa Malaysia, pemerkasaan Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Nasional dibawah NAICO dan pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, penambahbaikan daya saing menerusi pelaksanaan sistem digital dan industri 4.0 serta pembangunan bahan aeroangkasa berasaskan bio,” katanya lagi.

 

Pada tahun 2019, industri aeroangkasa Malaysia telah menjana hasil sebanyak RM16.2 juta dengan memiliki 27,500 tenaga kerja berkemahiran tinggi. 

 

Di peringkat global, Malaysia disebut-sebut sebagai negara yang menghasilkan produk aeroangkasa berkualiti tinggi untuk Airbus, Boeing, Rolls-Royce, Safran, Honeywell dan Thales. - DagangNews.com