Naik MRT, LRT percuma sebulan - PM | DagangNews Skip to main content

Naik MRT, LRT percuma sebulan - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu, hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL selama sebulan bermula hari ini, sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.

 

Ia membabitkan perkhidmatan  Mass Rapid Transit (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), Monorel dan bas RapidKL serta komuter Lembah Klang.

 

Ismail Sabri berkata, beliau berharap pengumuman berkenaan dapat meringankan beban yang dihadapi rakyat pada hari ini.

 

"Kerajaan memahami kesusahan rakyat dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup semakin meningkat.

 

"Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT," katanya ketika mengumumkan perkara tersebut ketika Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu di sini.

 

Beliau berkata, MRT Laluan Putrajaya yang dibangunkan dalam dua fasa menyediakan perkhidmatan kepada lebih kurang 2 juta penduduk di koridor bermula dari kawasan Kwasa Damansara ke Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan.

 

Jelasnya, MRT Laluan Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu manakala Laluan Fasa Dua yang kini hampir siap sepenuhnya, melibatkan laluan dari Kampung Batu ke Putrajaya.

 

 

pm

 

 

"Laluan Fasa Dua akan melalui kawasan strategik termasuk pusat bandar Kuala Lumpur dengan stesen bawah tanah seperti Titiwangsa, Hospital Kuala Lumpur, Ampang Park, Persiaran KLCC dan Tun Razak Exchange (TRX).

 

"MRT Laluan Putrajaya sepanjang 57.7 kilometer ini mempunyai 36 buah stesen terdiri daripada 27 buah stesen bertingkat dan sembilan buah stesen bawah tanah. Jumlah keseluruhan bagi pembinaan jajaran ini adalah sebanyak RM30.53 bilion," katanya.

 

Beliau berkata, kemudahan itu membolehkan para pengguna menikmati pertukaran perkhidmatan yang lancar ke MRT Laluan Kajang melibatkan platform aras sama di stesen Kwasa Damansara.

 

"Bas perantara dan bas GoKL juga akan disediakan di stesen bagi menyambungkan destinasi pertama dan terakhir," katanya.

 

Tambahnya, pihak MRT juga kini dalam perancangan untuk menambah empat lagi stesen baharu pada masa akan datang agar akses kepada pengangkutan awam dapat terus ditingkatkan. - DagangNews.com