Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 3 Ogos – Anak syarikat NanoMalaysia Berhad, NanoCommerce Sdn. Bhd. dan Pulsar UAV Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian usaha sama (JV) untuk mengkomersialkan dron berkuasa hidrogen dengan jarak terbang lebih jauh dikenali sebagai High Endurance Fuel Cell Powered UAV (On-board H2 Generation).
Perjanjian itu akan menyaksikan NanoCommerce memiliki 20% kepentingan dalam Pulsar UAV, sebuah syarikat Malaysia yang membina pesawat tanpa pemandu udara (UAV) atau dron.
Ketua Pegawai Eksekutif Pulsar UAV, Izmir Yamin berkata, usaha sama dengan NanoMalaysia membantu syarikatnya untuk membentuk keperluan perkhidmatan dron dalam pelbagai sektor terutamanya pertanian.
“Pembentukan pasaran mendorong kami untuk meningkatkan lagi perkhidmatan dron dengan membangunkan penjana hidrogen yang siap dipasang pada teknologi tersebut.
“Kini dengan teknologi hidrogen milik sendiri, kami bukan sahaja dapat meningkatkan perkhidmatan dron, malah dapat meneroka sektor-sektor lain seperti tenaga dan pengangkutan,” kata Izmir dalam sebuah kenyataan hari ini.
Hidrogen yang dihasilkan pada pesawat membolehkan dron terbang dengan lebih lama. Tempoh terbang yang lebih panjang dapat dicapai menerusi teknologi teras, iaitu sel bahan api hidrogen yang terkenal dengan cirinya yang lebih lasak.
Teknologi itu menghasilkan elektrik untuk menggerakkan rotor bagi penerbangan tanpa memerlukan storan gas mampat yang berat dan seterusnya meningkatkan nisbah kuasa.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif NanoCommerce, Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, NanoMalaysia meletakkan nilai intrinsik yang tinggi untuk projek tersebut menerusi pelaburan projek, harta intelek serta pembentukan dan akses pasaran.
“Dron berkuasa hidrogen yang dipasang pada pesawat diasingkan bagi tujuan pertanian dan telah pun mencapai kejayaan,” jelas beliau dalam kenyataan sama.
Sementara itu, usaha sama berkenaan juga akan membolehkan NanoMalaysia untuk membangunkan Hydrogen Paired Hybrid Energy Storage System (H2SS) yang sedia ada bagi sebuah projek kenderaan sukan pemotoran elektrik pertama dibangunkan sendiri di Malaysia iaitu Hydrogen Paired Electric Racecar (HyPER).
Projek HyPER dibangunkan bagi menggerakkan sektor automotif dan pengangkutan Malaysia ke arah tenaga yang boleh diperbaharui terutamanya hidrogen hijau sebagai langkah pertama untuk memulakan Ekonomi Hidrogen.
Pasaran Kenderaan Elektrik (EV) global yang bernilai AS$39.8 bilion (RM167 bilion) pada tahun 2018 dijangka mencecah AS$1.5 trilion (anggaran RM6.4 trilion) menjelang tahun 2025.
Tambah Rezal Khairi, HyPER bakal menjalani ujian yang menyeluruh pada bulan ini, disertai oleh para pemain industri yang berpotensi supaya dapat menembusi sektor automatif dengan pantas.
Secara amnya, pasaran EV pada masa ini menghadapi cabaran disebabkan kekurangan infrastruktur mengecas serta keperluan masa mengecas yang panjang, serta stesen menambah bahan api hidrogen masing-masing untuk versi bateri dan sel bahan api. – DagangNews.com