Nasom lancar program pakar e-dagang bertauliah perkasa belia autistik | DagangNews Skip to main content

Nasom lancar program pakar e-dagang bertauliah perkasa belia autistik

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 April – Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) melancarkan program Pakar E-dagang Bertauliah (CES) Tahap 1 yang bertujuan untuk memperkasa penghidap autisme dalam kalangan belia di Malaysia.

 

Program latihan dan perantis khusus itu diperkasa dengan kemahiran pemasaran digital dan E-Dagang dan seterusnya membuka peluang kerjaya baharu dalam kalangan komuniti autisme.

 

Ketua Program Nasom-Vokasional, Saffiza Anuar berkata, sejajar dengan tema Hari Kesedaran Autisme Sedunia (WAAD), iaitu Keterangkuman di Tempat Kerja: Cabaran dan Peluang dalam Dunia Pasca Pandemik, program sulung itu mengalu-alukan penyertaan belia autisme yang berusia antara 16 hingga 21 tahun di seluruh Malaysia untuk mendaftar bermula pertengahan April 2021.

 

“Lazimnya, industri runcit dan hospitaliti ialah sektor yang kebiasaanya mengambil penghidap autisme dewasa sebagai pekerja. Program Pakar E-Dagang Bertauliah (CES) Tahap 1 ini membolehkan kami mengolah tradisi dan membuka peluang baharu bagi komuniti autisme.

 

"Kami percaya sambil dunia berkembang maju dari segi teknologi, anak-anak muda kini perlu dipupuk dengan kemahiran relevan, lantas mewujudkan peluang saksama dalam dunia digital bagi golongan autisme untuk melangkah maju sebagai insan berdikari yang mampu menyumbang sebagai anggota masyarakat yang produktif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Latihan yang dikendalikan oleh Y Ventures Group Ltd dengan sokongan Nasom itu merupakan program peringkat asas yang disesuaikan mengikut pengalaman dan kemahiran setiap pelajar.

 

Pelajar di Tahap 1 akan menjalani latihan selama enam minggu membabitkan enam kemahiran asas E-Dagang, iaitu mencipta laman sesawang WordPress, cara memasarkan perniagaan di Internet, alat fotografi digital, menggunakan media sosial dalam perniagaan, cara mencapai kedudukan teratas dalam enjin pencarian dan pengenalan kepada Adobe Photoshop CC.

 

.

 

Tambah beliau lagi, peluang kerjaya bagi belia yang menghidap autisme di sekitar Asia Tenggara dan Malaysia secara khususnya adalah masih rendah.

 

“Nasom berbangga untuk berganding bahu dengan Y Ventures Group Ltd, sebuah syarikat EDagang yang tersenarai di Singapura berlandaskan data dengan keupayaan terasnya dalam membangun dan melaksanakan kurikulum latihan berkaitan E-Dagang dan teknologi yang bertujuan memupuk bakat untuk memacu perniagaan dalam ekonomi digital baharu.

 

"Kami percaya individu dengan autisme, terutamanya pelajar kursus ini, akan mendapatkan manfaat daripada bimbingan pakar-pakar industri.

 

"Tambahan lagi, peluang pekerjaan langsung menerusi latihan amali dalam program ini akan membolehkan pelajar mengguna pakai ilmu mereka dalam dunia kerjaya, lantas membuktikan bahawa walaupun menghadapi gangguan spektrum autisme, mereka mempunyai keupayaan setanding golongan belia sebaya mereka," ujar beliau.

 

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Y Ventures Group Ltd, Adam Low memberitahu, pihaknya teruja untuk menawarkan kepakaran dan  pengalaman kami kepada NASOM untuk membantu mencungkil bakat belia hari ini yang menghidap austisme.

 

"Menerusi program ini, kami ingin membantu golongan belia memulakan perjalanan sebagai pelopor Digital dan E-Dagang Masa Depan. Selama 22 tahun, kami telah membina syarikat ini yang mempunyai asas teguh sebagai pengedar dan perunding E-Dagang berlandaskan data dengan operasi di 25 pasaran dalam talian di 10 negara.

 

"Ilmu dan pengalaman luas yang ditimba menerusi kerjasama serta usaha membantu pelbagai jenama mencapai matlamat perniagaan masing-masing telah memberi inspirasi kepada kami untuk merintis jalan kerjaya baharu bagi masyarakat yang kurang keupayaan sosial," tambah beliau. - DagangNews.com