NationGate beli keseluruhan 100% kepentingan Hesechan Industries bernilai RM25 juta di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

NationGate beli keseluruhan 100% kepentingan Hesechan Industries bernilai RM25 juta di Pulau Pinang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - NationGate Holdings Bhd bercadang mengambil alih 100% kepentingan ekuiti dalam Hesechan Industries di Prai, Pulau Pinang dengan pertimbangan pembelian RM25 juta.

 

NationGate dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia pembelian tersebut merupakan usahanya untuk memperoleh ruang pembuatan tambahan bagi memudahkan pengembangan perniagaannya.

 

Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) itu mengumumkan bahawa ia telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan vendor, Heap Seong Chan Company Sdn Bhd, untuk membeli semua 2 juta saham Hesechan, menjadikannya anak syarikat milik penuh NationGate.

 

Hesechan terutamanya terlibat dalam perniagaan pergudangan dan perkhidmatan logistik.

 

NationGate berkata, pembelian itu dibuat selepas mempertimbangkan, antara faktor lain, nilai pasaran hartanah di Kawasan Perindustrian Prai yang dilaporkan bernilai RM25 juta setakat Disember 2023. Nilai buku bersih hartanah itu setakat Julai 2023 adalah RM4.64 juta .

 

Ia berkata hartanah itu, yang terdiri daripada empat kilang dan sebuah blok pejabat, digunakan untuk aktiviti perniagaan Heap Seong Chan berkaitan pergudangan dan pembawa am.

 

“Prospek pengambilalihan adalah menggalakkan dengan mengambil kira kekuatan daya saing dan strategi perniagaan kumpulan.

 

“Sifat pantas industri elektrik dan elektronik (E&E) ditambah pula dengan landskap teknologi yang sentiasa berubah di peringkat global, usaha tanpa henti kumpulan dalam meningkatkan rantaian nilai perkhidmatan pembuatan yang diberikan akan memastikan kami terus berada di hadapan dalam pasaran yang kompetitif ini.

 

"Selain itu, kumpulan tersebut berhasrat untuk terus berusaha untuk kemajuan teknologi dan keberkesanan kos, serta membina kerjasama kukuh dalam ekosistem rantaian bekalannya untuk berada di kedudukan lebih baik dalam pasaran EMS," katanya.

 

Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, pengambilalihan itu dijangka selesai pada penghujung suku pertama berakhir pada 31 Mac 2024.

 

Dari segi kewangan, NationGate menyatakan bahawa kesan pengambilalihan terhadap penggearan kumpulan hanya boleh ditentukan berdasarkan pecahan akhir sumber pembiayaan untuk membiayai pengambilalihan itu.

 

Pada pukul 9:29 pagi ini, saham NationGate telah menurun 1 sen atau 0.7% kepada RM1.40 dengan permodalan pasarannya bernilai RM2.9 bilion. - DagangNews.com