Naza TTDI rancang enam projek baharu dengan GDV RM3 bilion menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

Naza TTDI rancang enam projek baharu dengan GDV RM3 bilion menjelang 2025

MET 1 ialah salah satu komponen di pembangunan utama Naza TTDI, KL Metropolis.

KUALA LUMPUR 6 Julai - Naza TTDI Sdn Bhd, cabang hartanah Naza Corporation Holdings Sdn Bhd merancang untuk membangunkan enam projek baharu dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Daniel Lim berkata, pelancaran projek seterusnya adalah  TTDI Za’aba Residences di Taman Tun Dr Ismail menjelang suku keempat tahun 2022.

 

Sementara itu, Naza TTDI turut membuka galeri jualan KL Metropolis yang terletak di tengah-tengah MET 1, menempatkan dua unit pameran MET 1 Residences yang hampir 100 peratus siap setakat ini.

 

MET 1 ialah salah satu komponen di pembangunan utama Naza TTDI, KL Metropolis.

 

"Walaupun sektor pembinaan telah dibuka semula dan hampir pada momentum penuh berikutan penutupan akibat pandemik global, kami menunggu MET 1 untuk siap menjelang suku keempat 2022," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Dengan GDV sebanyak RM21 bilion dan kawasan meliputi kira-kira 30.55 hektar, KL Metropolis akan menjadi mercu tanda baharu Naza TTDI di Kuala Lumpur dengan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) sebagai pusat tarikan utamanya. - DagangNews.com