Tok Batin Kg Ulu Bekor Uda Awai, wakil JAKOA En. Azli, wakil Kiple Pn Baizuhrah, dan Pn Jariyah daripada NCER di kedai yang menerima pembayaran kad tanpa tunai prabayar yang diedarkan di bawah inisiatif KIDR.
Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Jan - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sedang menggerakkan usaha capaian yang istimewa buat komuniti Orang Asli di Perak melalui inisiatif bantuan kewangan Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) dan penyelesaian teknologi oleh Kiplepay Sdn Bhd.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, menerusi program tersebut, NCIA menawarkan kad tanpa tunai prabayar, dikuasakan oleh KiplePay, buat para penerima daripada komuniti Orang Asli di Perak.
Katanya, kad tersebut didatangkan dengan dana bulanan sebanyak RM250 yang diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan, dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas daripada peniaga tempatan, termasuk para peniaga yang terdiri daripada Orang Asli.
"Inisiatif Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) bukan sahaja dapat membantu membasmi kemiskinan dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah di Malaysia sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12, malah ia juga selari dengan matlamat kerajaan untuk memacu Malaysia ke hadapan sebagai sebuah negara digital.
"Dengan membolehkan peniaga mudah alih memupuk penggunaan fungsi ini menerusi kad tanpa tunai oleh KiplePay, NCIA berharap para penduduk di kawasan pedalaman juga dapat menimba inspirasi untuk meningkatkan literasi digital mereka serta menerima peralihan digital dalam hidup masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kiplepay Sdn Bhd, Ricky Lew berkata, dengan kad tanpa tunai dan terminal bayaran yang dikuasakan oleh KiplePay, para penerima manfaat dan peniaga Orang Asli akan memiliki akses selain terdedah kepada transaksi tanpa sentuh yang lebih selamat.
"Langkah ini akan mendorong komuniti di kawasan terpencil untuk mengguna pakai penyelesaian digital dalam kehidupan mereka, lantas membuka lebih banyak peluang bagi mereka pada masa akan datang," katanya.
Program KIDR tersebut telah memberi manfaat kepada 4,701 benefisiari termasuk 1,094 komuniti Orang Asli pada tahun 2021.
Setakat ini, program berkenaan telah menyaksikan 150 peniaga mengambil bahagian di bawah program KIDR, dan 25 daripada mereka adalah dari komuniti Orang Asli.
Usaha tersebut merupakan lanjutan usaha sama sedia ada antara NCIA dan Kiple untuk membekalkan pelbagai penyelesaian tanpa tunai kepada komuniti miskin dan miskin tegar di negeri-negeri utara, dengan fokus terhadap wanita berpendapatan rendah dari isi rumah yang tiada pendapatan tetap. -DagangNews.com