NCT Group bekerjasama dengan MBSB Bank sediakan pembiayaan mampan untuk projek NSIP | DagangNews Skip to main content

NCT Group bekerjasama dengan MBSB Bank sediakan pembiayaan mampan untuk projek NSIP

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - NCT Group of Companies memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) bagi menyediakan pilihan pembiayaan mampan untuk pembeli akhir projek NCT Smart Industrial Park (NSIP) yang akan datang.

 

Kerjasama itu akan meneroka penyediaan perkhidmatan seperti perbelanjaan modal, modal kerja, penyelesaian perdagangan dan pembiayaan akhir.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, kerjasama dengan MBSB Bank itu adalah sebahagain daripada usaha jangka panjang dalam memastikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses oleh bakal pelabur NSIP.

 

Beliau berkata, NSIP merupakan komitmen kumpulan terhadap kemampanan dan kepentingan untuk kumpulan bagi mempercepatkan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Sebagai tambahan kepada matlamat NSIP untuk mencapai status Hartanah Hijau (GreenRE), kami akan terus melaksanakan lebih banyak elemen ESG selain mengukuhkan kehadiran NSIP sebagai taman perindustrian ekosentrik di Selangor," katanya dalam satu keyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, pihaknya amat menghargai kerjasama itu bagi projek NSIP kerana ia sejajar dengan hala tuju strategik bank itu ke arah kemampanan. 

 

Beliau berkata, untuk mara kehadapan, setiap sektor perlu bekerja secara kolektif ke arah matlamat bersama untuk melindungi alam sekitar untuk generasi masa depan.

 

"Dalam usaha memastikan pembeli dan pelabur NSIP akan mendapat manfaat daripada pilihan pembiayaan yang ditawarkan oleh MBSB Bank, kami yakin visi bersama dalam memacu agenda ESG akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan dan membawa kami kepada pertumbuhan perniagaan yang lebih besar secara mampan," katanya. - DagangNews.com