NCWO anjur majlis santapan malam sempena sambutan Hari Wanita ke-61 pada 25 Ogos ini | DagangNews Skip to main content

NCWO anjur majlis santapan malam sempena sambutan Hari Wanita ke-61 pada 25 Ogos ini

Sambutan Hari Wanita ke-61 ini seiring dengan Pelancaran Forum Ekonomi Penjagaan, selaras dengan hasrat kerajaan yang termaktub dalam menjayakan Ekonomi Madani.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) menganjurkan Majlis Santapan Malam sempena sambutan Hari Wanita ke-61 pada 25 Ogos ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

 

Raja Permasuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis tersebut yang bertemakan 'Memupuk Ekosistem Ekonomi Penjagaan yang Lestari dan Berdaya Tahan'.

 

Sambutan Hari Wanita ke-61 ini seiring dengan Pelancaran Forum Ekonomi Penjagaan, selaras dengan hasrat kerajaan yang termaktub dalam menjayakan Ekonomi Madani.

 

Tema tahun ini adalah kesinambungan usaha NCWO, dengan kerjasama Malaysia Productivity Corporation (MPC), The Asia Foundation, Kiddocare dan United Nations Development Programme (UNDP), yang akan menganjurkan Forum Ekonomi Penjagaan tersebut pada hari berikutnya. 

 

Ia untuk memberi pengiktirafan menyuburkan sektor ekonomi penjagaan ini, yang ketiga terbesar selepas Amerika Syarikat dan China. 

 

Ekonomi Penjagaan mampu menjana penjagaan yang selamat terutama bagi wanita, menarik pelaburan, dan lebih penting, mengekalkan wanita dalam pasaran pekerjaan. 

 

Secara keseluruhannya Forum Ekonomi Penjagaan akan merungkai masalah yang dihadapi industri penjagaan untuk diatasi secara bersama kelak.

 

Dalam menjalankan advokasi mengatasi beban dan masalah rakyat serta komuniti tanpa mengira bangsa dan negara, bermatlamat memartabatkan wanita, NCWO juga menjalankan advokasi dalam menuntut komitmen kerajaan terhadap kesaksamaan gender dan penghapusan diskriminasi berasaskan gender.

 

Ia selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan, baik dari segi ekonomi, pendidikan, kesihatan, juga kerakyatan. 

 

Ini seiring dengan matlamat sasaran negara 30% penyertaan wanita didalam pelbagai bidang. Hakikatnya, semua ini memerlukan kemahuan politik atau “political will”. - DagangNews.com