KUALA LUMPUR 24 Mac - NEFIN Group melantik Solarvest Holdings Bhd. sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek solar fotovoltaik (PV) di atas bumbung untuk rangkaian pasar raya Lotus Malaysia.
Ia membabitkan 12 cawangan dan 1 pusat pengedaran segar dengan kapasiti dianggarkan berjumlah 7.98 megawatt-puncak (MWp).
Dengan jumlah kontrak bernilai RM20.1 juta, tarikh operasi komersial (COD) projek itu dijangka dicapai selewat-lewatnya 31 Julai 2022.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, kerjasama tersebut dijangka menyumbang hasil yang baik setelah dilantik sekali lagi bagi fasa kedua projek berkenaan.
Katanya, kontrak berulang adalah bukti kepada mutu kerja dan keupayaan kumpulan untuk menyampaikan penyelesaian inovatif dalam ruang EPCC solar PV.
"Memandangkan Malaysia berusaha ke arah matlamat neutral karbon menjelang 2050, kami menjangkakan dasar yang kondusif ke arah tenaga boleh diperbaharui dengan melibatkan seberapa banyak pihak, secepat yang mungkin.
"Potensi pasaran kekal meluas untuk pemain tenaga bersih seperti NEFIN Group dan Solarvest, justeru, kami mengharapkan lebih banyak lagi kerjasama yang membuahkan hasil pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 2021, Solarvest bekerjasama dengan NE Suria Satu Sdn. Bhd., syarikat usaha sama Petronas dan NEFIN Group untuk menyelesaikan fasa pertama membabitkan pemasangan panel PV solar di 15 pasar raya besar (ketika itu dikenali sebagai Tesco) di seluruh Semenanjung Malaysia.
Dengan penambahan baharu itu, sebanyak 27 cawangan Lotus Malaysia akan mempunyai kuasa solar, paling banyak dalam kalangan jenama pasar raya besar di Malaysia.
Negara jiran seperti Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam telah menyaksikan lonjakan dalam pusat beli-belah dan pasar raya besar yang dijana dengan kuasa solar. - DagangNews.com