Nelayan perahu usang hargai bantuan wang tunai ketika laut bergelora | DagangNews Skip to main content

Nelayan perahu usang hargai bantuan wang tunai ketika laut bergelora

Nelayan Kuala Kedah, Mahadi Muhamad - Gambar DagangNews
Oleh EMIR MUKMIN

KUALA KEDAH - Saban hari selepas subuh, Mahadi Muhamad, 52, akan bersiap-siap untuk turun ke laut menggunakan perahu miliknya yang sudah pun berusia 18 tahun, demi mencari sesuap nasi buat isteri serta anak-anak tersayang.

 

Berbekalkan enjin sangkut bergalah, yang digelar `ekor biawak’ oleh nelayan kian dimamah usia, perahu itu akan dibawa menelusuri Kuala Sungai Kedah sebelum 'membelah' lautan sejauh kira-kira dua batu nautika untuk mencari rezeki.  

 

Usaha itu ada kalanya berhasil. Ada kalanya, Mahadi bersama rakan-rakan lain pulang hampa berikutan hasil yang diterima, tidak seberapa malah tidak sampai pun memenuhi satu baldi. 

 

Keadaan itu menyebabkan mereka seakan 'terpaksa' tidak turun ke laut pada musim tertentu bagi mengelak daripada menanggung kos mengisi petrol pada enjin bot masing-masing.

 

 

 

 

Dengan setiap kepayahan dihadapi, nelayan kecil seperti Mahadi sebenarnya amat bersyukur menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dari kerajaan, setiap tahun.

 

Walaupun isterinya, Normi Abdul Ghani, 51, turut membantu menambah pendapatan dengan menjual ikan bersama anak ketiga mereka, Siti Nur Liyana, 21, di Pasar Nelayan Seberang Kota, Mahadi mengakui mereka sekeluarga amat memerlukan bantuan tersebut yang banyak memberi manfaat selama ini.

 

Setiap kali wang itu diterima dari kerajaan, hatinya dan isteri sentiasa merasa lega kerana bebanan kewangan keluarga dapat dikurangkan manakala keperluan anak-anak dapat dicukupkan.

 

 

mahadi muhammad
"Bila musim tengkujuh, tidak boleh ke laut..." kata Mahadi. 

 

 

Ketika ini, dia tinggal bersama empat daripada lima anaknya tinggal di Taman Kota Nelayan, dekat sini dengan anak bongsunya, Muhammad Fahmi, 12, masih lagi bersekolah.

 

Sebagai individu yang sudah merasai jerih-perih menjadi nelayan sejak berusia 13 tahun, Mahadi tidak pernah lupa untuk bersyukur kerana dia berpeluang untuk melalui fasa-fasa kehidupan sebelum kewujudan bantuan tunai kerajaan dan selepas bantuan itu diwujudkan.

 

Berbeza dengan zaman dulu katanya, kalangan golongan kurang berkemampuan sepertinya ketika ini boleh menarik nafas lega dan sentiasa lapang setiap kali bantuan itu diterima, setiap tahun.

 

“Bukan tidak berdikari. Kita berusaha selalu. Tapi beginilah... Bila musim tengkujuh, tidak boleh ke laut. Sebab itu, saya berharap bantuan tunai kerajaan itu diteruskan sampai bila-bila,” kata Mahadi.

 

Apa itu Sumbangan Tunai Rakyat?

Mahadi adalah sebahagian daripada 8.5 juta rakyat yang mendapat manfaat bantuan tunai sehingga RM650 menerusi Sumbangan Tunai Rakyat.

 

Ada yang mengkritik dasar ini membebankan kewangan negara, kononnya merugikan. Kebanyakannya mencela, membidas tanpa fakta.

 

Matlamat dasar ini adalah jelas dan nyata: bagi membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi keluarga di bawah kategori B40 dan M40 terendah.

 

 

wasiyyah
Bantuan tunai kerajaan disasarkan kepada B40 dan M40 terendah. Gambar Guberan Thanirmalai 

 

 

Dari mana dapat duit untuk Sumbangan Tunai Rakyat?

Jawapannya ialah dengan dasar penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan pada Jun 2024. Penjimatan dari subsidi diesel, dialihkan untuk diguna pakai rakyat.

 

Dalam Belanjawan 2024 peruntukan STR telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25% daripada RM8 bilion pada tahun 2023 kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60% penduduk dewasa Malaysia. 

 

Untuk mendapatkan dana RM10 bilion, selain penyasaran subsidi diesel, kerajaan juga melaksanakan beberapa pembaharuan langkah cukai seperti menaikkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), mengenakan cukai barangan nilai rendah, cukai perolehan modal dan pengenalan e-invoising.

 

Untuk mencapai matlamat itu kerajaan juga melaksanakan pembaharuan tarif untuk elektrik dan air.

 

Paling genting ialah langkah mengawal perbelanjaan yang lebih baik oleh kerajaan dengan melarang majlis mewah, berjimat ketika ke luar negara atas urusan rasmi, termasuk melarang menteri bawa rombongan dan akta perolehan bakal digubal bagi menutup ketirisan.

 

Semua di atas semasa diumumkan, mungkin terlepas daripada radar mata minda tetapi bila diperhalusi keseluruhannya bertujuan menyusun semula cara kerajaan berbelanja, dan segala penjimatan yang diperoleh boleh disalur kepada rakyat, terutama golongan memerlukan.

 

Kenapa perlu Sumbangan Tunai Rakyat?

Malaysia dan juga seluruh dunia baharu keluar daripada pandemik COVID-19 yang menghentikan segala pergerakan manusia dan aktiviti perdagangan. Ekonomi negara masih dalam proses pemulihan dan kerajaan mengakui kesan kepada rakyat jelata.

 

Yang ada kerja tetap, mungkin tidak sangat terasa impaknya. Yang bekerja sendiri, yang menjadi petani dan nelayan adalah kumpulan yang paling terdedah kepada krisis ekonomi ini.

 

Inilah antara faktor DagangNews mendekati dan berbual dari hati ke hati dengan nelayan seperti Mahadi di dalam artikel ini. Dan wartawan merasa sendiri perit dilambung ombak di dalam perahu kecil di Kuala Kedah. Belum lagi terik panas matahari.

 

 

parafrasa

 

 

Mungkin di persekitaran anda tidak melihat siapa dan apa yang dimaksudkan B40 dan M40 terendah dalam masyarakat kita. Tetapi kewujudan mereka adalah benar. Begitu juga golongan miskin, kerja kais pagi makan pagi juga benar-benar wujud.

 

Kita mungkin tidak hirau Sumbangan Tunai Rahmah. Apalah sangat RM650. Buat Overtime tiga hari pun sudah dapat jumlah itu.

 

Tetapi ada orang sangat-sangat menghargainya, malah mengharapkannya. Seperti nelayan di Kuala Kedah. - DagangNews.com