KUALA LUMPUR 9 Ogos - Nestcon Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Nam Heng Safety Glass Sdn. Bhd. (Nam Heng Glass) bagi membangunkan kemudahan solar fotovoltaik (PV).
Ia akan dibangunkan di kawasan hartanah milik Nam Heng Glass dan syarikat berkaitan kumpulan di Malaysia, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Di bawah kerjasama itu, kedua-dua pihak akan meneroka peluang bagi kumpulan Nam Heng Glass membekalkan kaca keselamatan bagi projek yang berpotensi dilaksanakan oleh kumpulan Nestcon.
"Nestcon akan menawarkan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk sistem PV solar dipasang di bumbung kepada Nam Heng Glass," katanya.
Secara dasarnya, Nam Heng Glass terutamanya terlibat dalam pembuatan dan pemasaran kaca keselamatan, fabrikasi, pemasangan dan reka bentuk grafik dalam kaca dan/atau perdagangan.
Menurut Nestcon, kerjasama itu akan kekal sah sehingga tamat tempoh, iaitu 24 bulan daripada MoU, atau tempoh yang lebih lama yang mungkin dipersetujui bersama antara kedua-dua pihak, atau atas persetujuan bersama secara bertulis antara kedua-dua pihak untuk menamatkan perjanjian itu.
Ia menjangkakan MoU itu akan menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih kumpulan apabila ia berjaya dilaksanakan.
"MoU ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan pemegangan utama Nestcon. Ini termasuklah tiada kesan material terhadap penggearan kumpulan," katanya. -DagangNews.com