Nestcon raih kontrak RM85 juta untuk kerja pembinaan kemudahan pemulihan sisa pembuangan berjadual | DagangNews Skip to main content

Nestcon raih kontrak RM85 juta untuk kerja pembinaan kemudahan pemulihan sisa pembuangan berjadual

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mei - Syarikat pembinaan, Nestcon Berhad menerima surat lantikan (LoA) untuk kerja-kerja mereka bentuk dan membina kemudahan pemulihan sisa pembuangan berjadual bernilai RM85 juta di Kertih, Terengganu.

 

Syarikat itu menerusi makluman kepada Bursa Malaysia berkata, surat lantikan itu diberikan kepada anak syarikatnya, Nestcon Builders Sdn. Bhd. pada 11 Mei 2022 daripada Greenverse Sdn. Bhd. untuk kerja-kerja di Lot 4A, B dan C, Fasa 3 di Lot Q, Taman Biopolimer Kerteh.

 

Nestcon berkata, Greenverse bergiat khususnya dalam mengeluar, mengitar semula dan menapis, untuk pengekstrakan petroleum serta minyak dan hidrokarbon lain.

 

"Tempoh kontrak keseluruhan projek ini adalah dalam tempoh 36 bulan daripada tarikh bermula dan projek dijangka akan disiapkan untuk diserah pada atau sebelum 17 Julai 2025.

 

"Bon pelaksanaan kekal sah dan berkuat kuasa untuk keseluruhan tempoh dan tambahan enam bulan selepas itu atau apabila sijil penyiapan projek dikeluarkan," katanya.

 

Nestcon berkata, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan sepanjang tempoh projek.

 

Syarikat itu juga tidak melihat sebarang risiko tambahan untuk projek berkenaan melainkan risiko berkaitan berkaitan projek berkenaan.

 

"Bagaimanapun, syarikat akan mengambil langkah bersesuaian untuk mengatasi sebarang risiko daripada berlaku," katanya. - DagangNews.com