KUALA LUMPUR 31 Julai - Nestle (Malaysia) Bhd menghadapi cabaran besar ketika pengguna Malaysia semakin beralih kepada jenama produk makanan dan minuman alternatif yang lebih murah akibat kekangan kewangan untuk berbelanja, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu yang mengekalkan saranan 'Underperform' untuk saham tersebut menyatakan mereka berhati-hati mengenai prospek Nestle Malaysia setelah mendengar taklimat terkini syarikat kepada penganalisis.
"Nestle mendedahkan bahawa kebelakangan ini berlaku penurunan pembelian oleh pengguna, iaitu beralih dari Nestle kepada jenama yang lebih murah atau bahagian bawah rangkaian produknya, yang merangkumi semua produk.
"Ini menunjukkan inflasi yang tinggi berterusan benar-benar menghakis kuasa beli pengguna. Tidak membantu juga adalah boikot berterusan terhadap produk Barat tertentu akibat perang Israel ke atas Gaza,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma penyelidikan itu berkata, produk utama seperti bijirin, susu, dan susu pekat mungkin terdedah kepada risiko kerana nilai jenama yang lebih rendah.
Kenanga Research memaklumkan Nestle Malaysia telah mengisyaratkan ia akan memperlahankan kenaikan harga pada masa akan dating dengan mengikuti strategi penetapan harga Nestle SA kerana pengguna semakin peka terhadap kos.
Harga produk terlarisnya termasuk Milo, Nescafe dan sos tomato Maggi dinaikkan sekitar 5% hingga 6% bermula 1 Julai 2024 untuk mengurangkan kos bahan mentah yang meningkat.
ARTIKEL BERKAITAN: Kuasa berbelanja, sentimen pengguna lemah jadi faktor hasil Nestle susut kepada RM1.5 bilion pada 2QFY24
Dalam satu pengumuman di Bursa Malaysia pada 26 Julai lalu, kumpulan ini mengumumkan keuntungan bersihnya untuk suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2024 (Q2 FY2024) telah menjunam 48.3% kepada RM93.59 juta berbanding RM180.91 juta tahun lalu.
Hasil suku tahunan merosot sebanyak 13% kepada RM1.52 bilion dari paras tertinggi sejarah RM1.75 bilion tahun lalu. Penurunan keuntungan dikaitkan dengan penurunan dalam jualan domestik disebabkan sentimen pengguna yang lemah dan kuasa beli yang terbatas.
Kenanga Research dalam pada itu kekal berhati-hati terhadap prospek syarikat dengan Nestle menjangka keadaan sukar akan berterusan sehingga suku ketiga 2024.
"Peningkatan perlahan dijangka menjelang akhir tahun dan pemulihan pertumbuhan pada separuh pertama 2025 (1H25).
"Selain itu, margin keuntungan kasar kemungkinan akan terus tertekan akibat harga komoditi utama seperti koko dan biji kopi yang tinggi, disebabkan oleh kekurangan bekalan yang berterusan,” katanya.
Namun, rangkaian produk makanan asas yang luas dari Nestle Malaysia mungkin dapat membantu mengurangkan kesan, kata Kenanga, yang mempunyai harga sasaran (TP) sebanyak RM114.90 untuk saham tersebut.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) telah menurunkan taraf saranan kepada 'Jual' daripada 'Hold' dan mengurangkan TP kepada RM101 sesaham daripada RM122.50 sebelumnya, berikutan hasil Q2 yang mengecewakan.
HLIB menyatakan bahawa keputusan Nestle Malaysia tidak memenuhi jangkaan, hanya mencapai 33% daripada ramalan dan 38% daripada anggaran konsensus.
HLIB telah mengurangkan ramalan keuntungan untuk tahun kewangan 2024 (FY2024) dan FY2025 masing-masing sebanyak 33% dan 19%.
“Selain itu, kami merasakan sentimen boikot serta tekanan kos akan terus membebankan pendapatan syarikat pada masa depan,” tambahnya.
HLIB juga menekankan kebimbangan mengenai penilaian tinggi Nestle Malaysia sebanyak 47.8 kali daripada pendapatan yang dijangkakan untuk FY2024, terutama apabila dibandingkan dengan penilaian jauh lebih rendah syarikat induknya iaitu 17.9 kali.
“Memandangkan cabaran yang berterusan dan keputusan yang mengecewakan, kami mendapati sukar untuk membenarkan penilaian tinggi semasa Nestle Malaysia,” kata HLIB.
Sahamnya jatuh RM4 atau 3.6% semalam kepada RM108.50, memberikan nilai kepada kumpulan tersebut sebanyak RM25.4 bilion. Sahamnya telah menurun 7.8% sejak awal tahun dan 19% sepanjang tahun lalu. - DagangNews.com