Nestle tidak bercadang naikkan harga produk berikutan harga komoditi semakin lemah, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Nestle tidak bercadang naikkan harga produk berikutan harga komoditi semakin lemah, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - Nestle Malaysia Berhad tidak mempunyai rancangan segera untuk menaikkan harga produk keluaran mereka berikutan harga komoditi yang semakin lemah.

 

Kenanga Research berkata, bagaimanapun keadaan itu mungkin berubah sekiranya berlaku sebarnag pembalikan seperti faktor geopolitik atau keadaan cuaca buruk.

 

Firma itu berkata, harga komoditi yang lebih rendah akan membantu meningkatkan margin keuntungan pada separuh kedua 2023. 

 

"Bagi mengurangkan kos inventori yang masih tinggi, kumpulan itu menukar lokasi geografi dan pembekal import bahan mentahnya bagi mengurangkan kos logistik.

 

"Kumpulan itu juga baru-baru ini memulakan inisiatif Nescafe Grown Respectfully di Kelantan, menyempadankan 80.9 hektar di Kelantan untuk penanaman kopi yang seterusnya mengurangkan kos import biji kopi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mengulangi kitaran baharu pelaburannya selepas 2022 berharga RM1 bilion dan bajet itu dijangka untuk tempoh 2023 hingga 2025.

 

"Pelaburan itu dijangka mengukuhkan pelancaran produk dan inovasi baharunya untuk kekal relevan dalam era baharu yang pantas berubah dengan kitaran hayat produk yang lebih pendek," katanya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu kekal berhati-hati terhadap prospek masa hadapan walaupun produknya merupakan bahan makanan ruji dan mereka menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan kos input yang lebih tinggi seperti yang ditunjukkan.

 

"Inflasi tinggi yang berterusan akhirnya boleh mendorong pengguna untuk menurunkan perdagangan iaitu memilih jenama atau alternatif yang lebih murah," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM121.18 sesaham. - DagangNews.com