Nextgreen Global jalin kerjasama dengan Marubeni bagi projek kitar semula tandan sawit kosong | DagangNews Skip to main content

Nextgreen Global jalin kerjasama dengan Marubeni bagi projek kitar semula tandan sawit kosong

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - Nextgreen Global Berhad menandatangani surat hasrat (LoI) dengan Marubeni Corporation bagi menjalinkan perkongsian projek mengitar semula tandan sawit kosong (EFB) kelapa sawit menerusi anak syarikatnya.

 

Menerusi projek itu, kumpulan itu sedang membangunkan Taman Teknologi Hijau dan telah memiliki kemudahan kitar semula EFB dengan kapasiti 12,000 tan setahun untuk pulpa EFB.

 

Nextgreen juga merancang untuk menambah satu lagi kemudahan kitar semula dengan kapasiti 100,000 tan setahun pulpa EFB di Pahang selain membangunkan Taman Teknologi Hijau di wilayah laintidak terhad kepada Sarawak dan Johor.

 

Kumpulan itu berkata, menerusi perkongsian itu, Marubeni akan menjadi ejen jualan tunggal pulpa EFB yang dihasilkan di Pahang dan menjualnya kepada mana-mana pihak ketiga selain menyasarkan memaksimumkan nilai EFB.

 

Katanya, Marubeni akan menyediakan pengetahuan dan pengalamannya yang mungkin berguna untuk Nextgreen bagi melaksanakan projek Taman Teknologi Hijau selain kemungkinan memberikan bantuan kewangan dalam kemudahan baharu di Pahang atau Taman Teknologi Hijau.

 

Selain itu mereka juga akan menilai kemungkinan meneroka peluang perniagaan lain tetapi tidak terhad kepada kertas, tisu, pelet untuk bahan api, baja dan sebagainya sebagai tambahan kepada pulpa EFB.

 

"Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan menanggung kos sendiri berkaitan kajian dan penyediaan, rundingan serta pemuktamadkan perjanjian yang berkaitan.

 

"LOI itu akan kekal sah sehingga 30 November 2024," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Perjanjian itu juga tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham, pegangan saham pemegang saham yang besar, aset bersih sesaham dan penggearan Nextgreen.

 

Ia juga tidak akan mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan sesaham kumpulan. - DagangNews.com