KUALA LUMPUR 30 Sept - Sebanyak empat buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyerahkan surat petisyen yang menggariskan tiga cadangan bagi rangka kerja kawalan tembakau dan produk nikotin berpandukan sains bagi Rang Undang-Undang (RUU) Tembakau Baharu 2022 kepada kerajaan.
Ia dengan harapan bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) dapat menggunakan rangka kerja yang dicadangkan itu dalam RUU Tembakau Baharu yang dijadual dibentangkan semula pada sesi persidangan Parlimen akan datang pada Oktober 2022.
Keempat-empat NGO itu terdiri daripada Malaysia Society for Harm Reduction (MHSR), Persatuan Insaf Murni Malaysia (IMAM), Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) dan Advanced Centre for Addiction Treatment Advocacy (ACATA).
Tiga cadangan tersebut meliputi, pertama, komponen Generation End Game (GEG) tidak seharusnya dimasukkan ke dalam RUU Tembakau Baharu 2022 sehingga ia disemak semula dengan menggabungkan prinsip pengurangan kemudaratan yang disokong bukti saintifik.
Kedua, pendekatan larangan melalui denda dan hukuman dalam RUU Tembakau Baharu 2022 harus disingkirkan.
Ketiga, walaupun pendekatan GEG adalah relevan, proses menuju ke GEG haruslah berbilang serampang (pengawalan, pendidikan) dengan strategi GEG yang berfasa.
Presiden MSHR, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, mereka amat prihatin terhadap cadangan langkah-langkah, impak dan pelaksanaan RUU itu, namun pihaknya masih belum dijemput dan dilibatkan PSSC sejak mesyuarat Parlimen pada Ogos lalu.
"Memandangkan RUU ini akan dibentangkan semula, kami berharap agar pandangan kami dipertimbangkan berdasarkan bukti saintifik dan supaya PSSC mengesyorkan peraturan yang lebih pragmatik ini untuk menjadi sebahagian daripada RUU Tembakau yang baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden IMAM, Dr. Khafidz Mohd Ishak pula berkata, kerajaan harus mempertimbangkan peranan bukti saintifik dalam pengurangan kemudaratan tembakau untuk berhenti merokok.
"Kita mesti merebut peluang ini untuk meletakkan inovasi dan pengesahan saintifik di barisan hadapan dalam penggubalan dasar kesihatan awam," katanya.
Turut berpandangan sama, Presiden ACATA, Dr Arifin Fii berkata, mereka menyambut baik dan memuji komitmen kerajaan dalam mengurangkan kelaziman merokok di negara ini.
"Bagaimanapun, larangan menyeluruh yang merangkumi produk pengurangan kemudaratan adalah sesuatu yang kurang produktif," katanya.
Presiden FPMPAM, Dr Steven Chow berkata, sains menunjukkan bahawa pengurangan kemudaratan tembakau boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan kelaziman merokok.
"Program pengurangan kemudaratan tembakau yang bermakna dapat membantu perokok semasa dan bukannya meletakkan mereka sebagai penjenayah," katanya. - DagangNews.com